Peguam dilepas tanpa bebas 90 tuduhan pengubahan wang haram

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin melepas tanpa membebaskan seorang peguam daripada 90 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM9 juta.

Hakim, Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan How Chee Hong, 53, untuk membatalkan kesemua 90 pertuduhan yang dihadapinya.

“Permohonan pemohon (Chee Hong) untuk membatalkan kesemua 90 pertuduhan pengubahan wang haram dibenarkan. Pemohon dilepas tanpa dibebaskan,” katanya dan memerintahkan wang jaminan RM150,000 dikembalikan kepada pemohon.

Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.

Prosiding itu turut disertai peguam Datuk K. Kumaraendran dan Datuk C. Vignesh Kumar yang mewakili How.

Sebelum ini, mahkamah telah mendengar keterangan dua saksi pendakwaan iaitu pegawai bank dan hari ini ditetapkan untuk keputusan permohonan How bagi membatalkan kesemua 90 pertuduhan pengubahan wang haram.

Chee Hong memfailkan permohonan itu pada 17 Mei lepas, atas alasan antaranya pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan kesalahan pengubahan wang haram kerana pemohon telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah yang inti pati kedua-dua kesalahan itu adalah sama.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 90, Chee Hong didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan cara memindahkan, menerima dan menggunakan wang keseluruhan berjumlah RM9,056,134, iaitu hasil daripada kegiatan haram daripada akaun semasa-i CIMB Bank Bhd milik firma guamannya Tetuan Kumar Jaspal Quah & Aishah.

Artikel Berkaitan:

Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di CIMB Bank Bhd cawangan Solaris Mont Kiara, di sini antara 10 Januari 2011 dan 13 Januari 2012.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(a) dibaca bersama 87(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pada 5 Mac 2019, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan How daripada pertuduhan pecah amanah berhubung perjanjian jual beli sebidang tanah di ibu negara bernilai RM9,056,124 antara 24 Disember 2010 dan 4 Januari 2012. - Bernama