Skuad Harimau Malaya mesti miliki 'mentaliti final'

Mohd Yusoff.- Foto fail Bernama
Mohd Yusoff.- Foto fail Bernama
A
A
A

SASARAN ke perlawanan akhir Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2020 di Singapura dianggap realistik tatkala fokus Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini sudah terarah untuk mencabar saingan di pentas Asia.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, semua pemain dan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya ketika ini sewajarnya sudah memiliki 'mentaliti final' setiap kali turun bertanding dalam kejohanan di peringkat Asia Tenggara.

"Tentu sekali kita mesti sasarkan apabila main di peringkat ASEAN, kita kena juara atau sekurang-kurangnya ke final. Sebab FAM seperti sedia maklum sudah memikirkan untuk menjangkau Asia.

"Jadi kalau kita masih tidak yakin dengan kemampuan pasukan boleh bermain di peringkat Asean, saya kira kita boleh lupakan mengenai (saingan di peringkat) Asia," katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Kejuaraan Piala AFF 2020 dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari tahun depan dengan Malaysia yang muncul naib juara pada edisi 2018 diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam serta Indonesia, Kemboja dan Laos.

Sebagai rekod, Malaysia berjaya melepasi saingan kumpulan sebanyak empat kali, selain beraksi di final tiga kali dan menjulang kejuaraan edisi 2010 dalam lima edisi terakhir Piala AFF.

Pada masa sama, Mohd Yusoff yakin dengan kemampuan skuad bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe untuk merealisasikan sasaran ke final biarpun menyedari pasukan negara berdepan kekangan masa yang singkat dalam membuat persediaan.

"Pemain dan jurulatih faham mengenai perkara ini dan dengan pilihan pemain yang ada untuk kejuaraan itu (Piala AFF), saya rasa kita mampu berikan saingan di sana. Kita mesti tunjukkan karakter untuk bermain di pentas lebih tinggi iaitu Asia," katanya yang juga merupakan pengurus pasukan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusoff berkata mesyuarat hari ini sebulat suara menyerahkan kepada persatuan bola sepak (FA) dan kelab bola sepak (FC) untuk mencari solusi terbaik dalam isu pihak yang lebih layak mengendalikan pasukan dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim depan.

Katanya, isu berkenaan timbul selepas terdapat aduan daripada beberapa FA yang menyatakan mereka 'kurang kerja’ selepas proses penswastaan pasukan yang bermula sejak Oktober tahun lepas.

"Ada beberapa FA negeri berminat untuk menguruskan pasukan bagi Piala Presiden dan Belia kerana apabila pasukan utama diberi kepada FC, mereka semua kurang aktiviti, ataupun tiada sesuatu yang bersangkutan dengan bola untuk diuruskan.

"Maka kita tiada paksaan tetapi galakkan mereka berbincang, dan kalau ada persefahaman antara mereka, maka dibolehkan pengurusan Piala Presiden dan Belia diserahkan kepada FA oleh FC, namun masih di bawah tanggungjawab FC untuk tujuan pelesenan kelab," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff mengesahkan majlis pecah tanah ibu pejabat baharu FAM di Presint 5, Putrajaya akan diadakan pada 9 Disember ini. - Bernama