X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Tidak cergas jangan bermain

Zii Jia. - Foto badminton photo (Gambar kecil: Roslin)
A
A

BEKAS pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim mempersoalkan penyertaan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pada kejohanan Masters Indonesia bermula Selasa ini, selepas mengalami kecederaan ketika beraksi di Jerman, dua minggu lalu.

Menurut Roslin, beliau mendakwa kecergasan Zii Jia masih belum mencapai tahap lebih 90 peratus yang dikhuatiri akan menyebabkan kecederaan yang lebih serius kepada pemain muda negara itu.

"Siapa buat keputusan untuk Zii Jia beraksi pada Indonesia Masters. Kalau itu keputusan Zii Jia sendiri kita kena hormat namun akan jadi masalah apabila penyertaannya adalah arahan daripada jurulatih atau pihak pengurusan yang akhirnya akan bagi kesan kepada dia.

"Sebab ketika ini saya tak rasa Zii Jia cergas sepenuhnya malah kecergasannya mungkin tak sampai 80 peratus walaupun dia mempunyai rehat lima hingga enam hari.

"Saya risau takut dia alami kecederaan serius yang akan memaksa Zii Jia untuk rehat panjang.

"Lebih baik dia korbankan masa dua hingga tiga minggu untuk pulih daripada rugi lima hingga enam bulan untuk pulih sekiranya mengalami kecederaan serius," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum ini Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, mengesahkan Zii Jia akan bertanding pada kejohanan yang bakal membuka tirainya pada Selasa ini.

Menurut Kenny pihaknya akan sentiasa memantau keadaan juara All England itu sambil menyifatkan kecederaan Zii Jia tidak serius dan dia masih dalam proses pemulihan.

Dalam pada itu ujar Roslin, Zii Jia perlu berfikir masak-masak sebelum menyertai kejohanan tersebut memandangkan lebih banyak peserta berkelas dunia akan menyertai kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$600,000 (RM2.5 juta).

Jelasnya, masih belum terlambat untuk Zii Jia menarik diri memandangkan dia masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan dialaminya.

"Pemain yang akan sertai Indonesian Masters ini lagi hebat berbanding Terbuka Jerman tempoh hari. Jadi kemungkinan nak jumpa pemain hebat itu tinggi.

"Kalau lah dia tersingkir pada pusingan awal, takkan Zii Jia nak guna alasan kecederaan yang saya rasa mungkin akan dapat kecaman orang ramai.

"Jadi saya nasihat Zii Jia sekiranya tidak cergas tidak perlu sertai kejohanan ini. Saya rasa kalau Zii Jia tarik diri dia tidak akan kena denda sebab ada bukti sebelum ini dia cedera," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!