Pengetua sekolah salah guna kuasa tetap dipenjara

Mahkamah menolak rayuan Norliza Mat Radzi, 53, berhubung sabitan, hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Julai 2017.- Foto fail Bernama
Mahkamah menolak rayuan Norliza Mat Radzi, 53, berhubung sabitan, hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Julai 2017.- Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pengetua sekolah menengah terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga bulan selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan bagi tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65 kira-kira empat tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk M.Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan Norliza Mat Radzi, 53, berhubung sabitan, hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Julai 2017.

Hanipah, yang mengetuai panel itu, berkata hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Norliza oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak terlalu berat memandangkan tempoh maksimum hukuman penjara bagi kesalahan tersebut ialah 20 tahun.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang itu, yang bebas atas jaminan sementara menunggu rayuan, diperintah menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di sekolah itu antara 12 Februari dan 13 April 2016.

Sebelum ini, Norliza gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,500 bagi pertuduhan pertama iaitu memilih syarikat miliknya sendiri, Orean Collection, untuk menjadi membekalkan alat bantuan mengajar bernilai RM2,091.65.

Bagi pertuduhan kedua iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan tuala kecil bagi program ‘Selamatkan Bumi Kita’ bernilai RM500, dia dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000.

Artikel Berkaitan:

Norliza turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 bagi pertuduhan ketiga iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan hamper, set fail, alat tulis dan pingat bagi program Perkhemahan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 2016 bernilai RM4,000.

Mahkamah Sesyen telah memerintahkan Norliza menjalani hukuman penjara secara serentak. Dia telah membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Norliza diwakili peguam Anwar Ab Raof manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir hadir bagi pihak pendakwaan. - Bernama