Kerajaan diminta campur tangan stabilkan harga baja, racun: MADA

MADA meminta kerajaan menimbangkan langkah intervensi menstabilkan harga baja dan racun khususnya bagi sektor penanaman padi atas dasar sekuriti makanan negara. Gambar hiasan
MADA meminta kerajaan menimbangkan langkah intervensi menstabilkan harga baja dan racun khususnya bagi sektor penanaman padi atas dasar sekuriti makanan negara. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meminta kerajaan menimbangkan langkah intervensi menstabilkan harga baja dan racun khususnya bagi sektor penanaman padi atas dasar sekuriti makanan negara.

Menurut Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman, campur tangan kerajaan dilihat mampu membantu petani serta pengusaha kecil yang berhadapan isu kenaikan harga mendadak baja dan racun.

"MADA melihat langkah penting ini perlu bagi membantu peladang menguruskan kos operasi perladangan berada di tahap yang optimum dan boleh memberi keuntungang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi menyambut baik langkah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menubuhkan Jawatankuasa Bersama Berkenaan Isu Kenaikan Harga Baja dan Racun.

"MADA juga mencadangkan peladang mengadaptasi Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB) pengurusan sawah padi dengan mengamalkan kawalan perosak dan penyakit berdasarkan penentuan tahapambang ekonomi (Economic Threshold Level-ETL).

"Peladang boleh merujuk 945 lokasi bendera amaran pengawasan dan ramalan bagi menentukan tahap kehadiran perosak dan penyakit," katanya.

"Amalan penggunaan racun secara intensif dan berjadual tanpa mengira kehadiran perosak dan penyakit di petak sawah boleh menyebabkan pembaziran racun kimia dan meningkatkan kos operasi ladang," ujarnya.

Tambah beliau, sehingga kini seluas 100,685 hektar sawah padi di Kawasan Muda yang diuruskan oleh 57,635 peladang yang menyumbang secara purata kepada 40 peratus pengeluaran padi negara.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, media melaporkan kerajaan melalui MAFI dan KPDNHEP telah menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menangani isu kenaikan harga baja dan racun.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan bersama menjelaskan, ia sebahagian usaha bersepadu untuk meneliti cadangan tindakan dan kaedah penyelesaian bagi masalah itu.