Kerajaan Kelantan belum terima laporan penemuan ketulan emas

Laporan Sinar Harian mengenai dakwaan penemuan emas di Bukit Lata pada Ahad.
Laporan Sinar Harian mengenai dakwaan penemuan emas di Bukit Lata pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan Kelantan belum menerima sebarang laporan secara rasmi berhubung penemuan ketulan yang didakwa mengandungi emas di Bukit Lata, Rantau Panjang sebagaimana tular dan dilaporkan oleh pihak akhbar.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) negeri serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri masih belum mengemukakan sebarang maklumat berhubung perkara itu.

"Saya hanya tahu mengenai penemuan itu menerusi laporan akhbar.

"Jadi kita akan tunggu laporan daripada pihak berkenaan," katanya selepas diminta mengulas mengenai penemuan ketulan yang disyaki mengandungi emas.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor sebelum itu merasmikan pembukaan Restoran D' Terapung Pantai Sri Tujuh, di sini pada Isnin.

Mohd Amar menandatangani plak perasmian pembukaan Restoran D' Terapung Pantai Sri Tujuh, Tumpat pada Isnin.
Mohd Amar menandatangani plak perasmian pembukaan Restoran D' Terapung Pantai Sri Tujuh, Tumpat pada Isnin.

Menurutnya, melalui laporan itu nanti, kerajaan akan membuat penelitian sebelum mengambil sebarang tindakan.

Beliau berkata, Kelantan sememangnya kaya dengan sumber emas di dalam bumi atau sungai sebagaimana yang dikemukakan oleh JMG.

Artikel Berkaitan:

Mohd Amar berkata, ia dapat dilihat di kawasan Sokor, Tanah Merah dan Jeli.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, penemuan ketulan batu-batu yang didakwa mengandungi emas di kawasan Bukit Lata, di sini menggemparkan penduduk setempat.

Susulan itu, lokasi yang merupakan tapak projek tebatan banjir menjadi tumpuan penduduk setempat untuk melihat sendiri penemuan batu-batu berkenaan.

Bagaimanapun, lokasi itu telah ditutup sepenuhnya kepada orang luar susulan penemuan batu-batu yang didakwa mengandungi emas tersebut tular di laman sosial Facebook beberapa hari lalu.