Kerjasama swasta perlu untuk majukan Tapak Arkeologi Sungai Batu

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kertas kerja atau dossier bagi mengangkat Tapak Arkeologi Sungai Batu sebagai produk pelancongan sejarah telah siap dan akan diserahkan kepada panel penilai.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri mungkin akan menjalin kerjasama dengan syarikat swasta bagi merealisasikan hasrat itu berikutan kos membangunkan tapak tamadun tertua di Asia Tenggara itu agak tinggi.

Menurutnya, hasrat itu juga juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika kunjungan rasmi ke Merbok, Ogos lalu.

“Ada syarikat berminat menjalin kerjasama untuk menjadikan Sungai Batu sebagai produk pelancongan setanding Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Asmirul Anuar Aris (Kubang Rotan-Amanah) berkaitan kebimbangan usaha memulihara Tapak Arkeologi Sungai Batu berkubur pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Muhammad Sanusi memberitahu berdasarkan taklimat, perlu lebih banyak usaha dilakukan selain mengambil kira kos RM100 juta untuk memindahkan dua buah kapal yang tertanam dalam kawasan paya di tapak arkeologi itu.

Ketika menjawab soalan lisan Hanif Ghazali (Tanjung Dawai-Pas) berhubung usaha kerajaan negeri menjadikan tapak tersebut sebagai destinasi pelancongan sejarah, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, Pusat Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya cawangan Kedah giat mempromosikan Tamadun Sungai Batu sebagai pelancongan sejarah berdasarkan bukti penemuannya.

“Kerajaan negeri dan Jabatan Warisan Negara ada mohon peruntukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi tujuan infrastruktur untuk keselesaan dan keselamatan pelancong.

“Kedah Tourism Sdn Bhd juga giat mempromosikan pelancongan di tanah besar termasuklah Tamadun Sungai Batu sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, promosi di peringkat antarabangsa turut dilakukan selain menyertai pameran pelancongan antarabangsa, trip bersama penulis blog, influencer serta pemain industri.

Muhammad Sanusi memaklumkan, MOTAC sebelum ini telah memohon peruntukan di bawah Projek Fizikal Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) untuk projek pembangunan Kompleks Tapak Warisan Arkeologi Sungai Batu.

“Sebanyak RM10 juta diluluskan untuk membina Pusat Penyelidikan Arkeologi, pusat sumber, menaik taraf bumbung-bumbung shelter dan fasiliti lain. Namun, projek itu terpaksa ditangguhkan bagi menyediakan perancangan lebih menyeluruh untuk dipertimbangkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Tambah beliau, MOTAC turut membuat permohonan peruntukan RM50 juta melalui RMK12 meliputi kerja-kerja pembinaan kemudahan pelancongan dan pentadbiran.

Mengulas lanjut, katanya, Tapak Arkeologi Sungai Batu diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 28 November 2017 namun belum mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kajian lanjut masih dijalankan untuk kenal pasti kriteria bersesuaian bagi membolehkan tapak tersebut mendapat pengiktirafan UNESCO. Selain itu, kita perlu mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan UNESCO dalam usaha mengangkat Sungai Batu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya.