Polis bongkar salah guna dadah di pusat hiburan

Mazlan memeriksa dokumen suspek yang ditahan.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang diserbu polis awal pagi tadi sekaligus membongkar kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung pusat hiburan itu.

Pusat hiburan berkenaan pernah menjadi kontroversi pada 2014 selepas seorang joki kereta maut manakala 12 individu cedera akibat serangan bom tangan.

Serbuan bermula jam 2.45 pagi yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Antara GRO yang ditahan.
Antara GRO yang ditahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua lelaki warga Singapura antara diberkas mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Menurutnya, seramai 81 individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an diperiksa dalam serbuan itu dan 37 daripadanya yang terdiri daripada 28 lelaki serta sembilan wanita didapati positif dadah.

“Selain itu, kita juga menahan 15 GRO (wanita pelayan pelanggan) yang terdiri daripada 10 warga China manakala lima lagi warga Vietnam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Anjing K9 digunakan bagi menghidu dadah di pusat hiburan berkenaan.
Anjing K9 digunakan bagi menghidu dadah di pusat hiburan berkenaan.

Mazlan berkata, dalam operasi ini, polis juga menggunakan khidmat Unit Pengesan Anjing (K9) bagi menghidu bau dadah selepas beberapa botol minuman berisi dadah dirampas di pusat hiburan tersebut.

“Air minuman berisi dadah itu ditemui di dalam sebuah bilik yang didiami empat lelaki termasuk dua warga Singapura bersama empat GRO warga China,” ujarnya.

Kesemua tangkapan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia