Aaron tekad akhiri tahun ini dengan kejayaan

No Image Caption
A
A
A

TAHUN ini menyaksikan pasangan beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada dasarnya mempamerkan persembahan yang boleh dikatakan cukup memberangsangkan.

Ogos lalu, pasangan nombor lapan dunia itu beraksi dengan cemerlang sepanjang karier mereka apabila mereka bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menumpaskan pasangan pilihan kedua, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, dengan 17-21, 21-17, 21-14 bagi merebut pingat gangsa Olimpik Tokto.

Bagaimanapun dalam beberapa pertandingan berikutnya, prestasi mereka nampak semakin goyah.

Dalam pusingan kedua Terbuka Denmark 2021, pasangan negara itu ditewaskan oleh pilihan ke-26 dunia pasangan Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun dengan 18-21, 21-19, 14-21, sebelum kalah kepada pasangan ranking ke-19 dunia dari Korea Selatan Ko Sung Hyun-Shin Baekcheol dalam perlawanan peringkat separuh akhir Terbuka Perancis 2021.

Kini mereka kelihatan cukup bersemangat dengan tekad untuk kembali bangkit menyerlah dalam pertandingan Kejohanan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol 12-19 Disember depan.

“Kami masih berharap untuk rebut gelaran (juara dunia).. tapi kami tidak akan meletakkan harapan terlalu tinggi, kerana kita tahu apabila kita terlalu menaruh harapan, perkara buruk boleh berlaku. Jadi apa yang boleh kami lakukan ialah kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk capai sasaran,” kata Aaron.

Pemain kelahiran Melaka itu berharap mereka akan menyerlah dalam tiga perlawanan seterusnya di Bali, bermula dengan Masters Indonesia mulai esok hingga 21 November dan Terbuka Indonesia 2021 dari 23-28 November dan pertandingan kelayakan ke Pusingan Jelajah Dunia 1-5 Disember.

Pasangan yang kini berada di kedudukan ke-14 dalam ranking akhir jelajah dunia, perlu sekurang-kurangnya mara ke suku akhir dalam dua perlawanan pertama Bali untuk naik ke kelompok lapan teratas bagi membuka peluang untuk beraksi dalam kemuncak Jelajah Dunia.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai keadaan semasa, pemain berumur 24 tahun itu berkata, dia mengalami sedikit sakit otot, namun ia adalah perkara biasa yang dialami mana-mana pemain badminton.

Aaron-Wooi Yik kini bersedia untuk membuka kempen Masters Indonesia menentang Ben Lane-Sean Vendy dari England, manakala pasangan Jerman Mark Lamsfuss-Marvin Seidel menanti mereka pada pusingan pertama Terbuka Indonesia 2021. - Bernama