Bekalan minyak masak paket berkurangan

Mohd Fauzi menunjukkan minyak masak paket di sebuah kedai runcit di Pasar Besar Alor Setar pada Isnin yang dijual terhad satu paket sahaja kepada seorang pelanggan.
Mohd Fauzi menunjukkan minyak masak paket di sebuah kedai runcit di Pasar Besar Alor Setar pada Isnin yang dijual terhad satu paket sahaja kepada seorang pelanggan.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekalan minyak masak paket didapati berkurangan sejak dua minggu lalu di sekitar Bandaraya Alor Setar sehingga menyebabkan orang ramai terpaksa ke daerah lain untuk mendapatkannya.

Pengerusi Pemantau Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE), Mohd Fauzi Sharip berkata, pihaknya sudah turun padang bagi meninjau masalah itu selepas terdapat aduan daripada peniaga.

Menurut Mohd Fauzi, pihaknya menasihatkan orang ramai agar membeli untuk keperluan sahaja dan bukannya secara pukal bagi mengelakkan pembelian panik dalam kalangan pengguna.

"Bagaimanapun, CAKE akan menghubungi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk berbincang supaya masalah kekurangan minyak masak ini dapat diatasi dengan segera.

"Sebelum ini, kementerian telah mengarahkan agar pelanggan hanya boleh membeli sebanyak dua paket minyak masak semasa keadaan stabil. Bagaimanapun dengan keadaan sekarang, pekedai hanya mampu menjual satu paket minyak masak kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Pasar Besar Alor Setar pada Isnin.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd Romli Arshad, 52, berkata, ramai pelanggannya seperti peniaga kuih muih dan juga pisang goreng terpaksa ke daerah lain untuk mendapatkan bekalan minyak masak paket.

Menurutnya, ada pemborong yang menjualnya pada harga RM2.70 satu paket berbanding harga yang dibenarkan iaitu RM2.50, namun peniaga tiada pilihan dan terpaksa membelinya kerana menjadi satu keperluan untuk berniaga.

"Saya harap pihak kerajaan memandang serius isu ini dengan turun padang dan memantau harga daripada pembekal atau kilang supaya masalah itu tidak berlarutan lebih lama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peniaga, Mohd Asrul Ahmad, 61, berkata, pemborong telah memotong separuh daripada pesanannya sejak dua minggu lalu kerana difahamkan bekalan minyak masak paket yang dihantar oleh kilang telah berkurangan.

"Sebelum ini saya akan membeli 400 paket minyak masak subsidi ini setiap minggu daripada pemborong. Namun sejak dua minggu lalu, saya hanya mendapat 200 paket dan saya terpaksa mencatu bekalan minyak masak paket ini.

"Kami terpaksa catu untuk jualan dan kadang-kadang ramai peniaga kuih muih yang tidak berpuas hati kerana mereka sangat perlukan minyak masak paket ini untuk perniagaan mereka," ujarnya.