Kerajaan PP masih buka rundingan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang masih mengamalkan sikap terbuka untuk mengadakan rundingan dengan 22 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Manggis walaupun tawarannya telah ditolak beberapa kali.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berharap para penyewa yang hilang kelayakan menduduk PPR Taman Manggis akan tampil untuk memberi pertimbangan bagi alternatif lain seperti memohon rumah kos rendah atau sederhana rendah.

Menurutnya, tawaran untuk mereka pulang semula ke rumah masing-masing akan berakhir esok dan mereka seharusnya mengambil masa ini untuk melihat alternatif lain kerana masih ada banyak kekosongan unit untuk projek perumahan kerajaan negeri selain PPR.

"Jadi kita tidak menutup pintu untuk rundingan dan bersedia membantu mereka, tetapi penguatkuasaan itu perlu dilaksanakan sebab ada banyak PPR yang menghadapi masalah yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program komuniti senamrobik sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, kerajaan juga pernah menawarkan kediaman di hotel seliaan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) kepada beberapa penduduk yang berteduh di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) namun mereka menolaknya.

Chow yang juga ADUN Padang Kota berkata kerajaan harus bersikap tegas dalam penguatkuasaan ini kerana usaha ini akan membolehkan pihak-pihak lain yang lebih layak menduduki PPR.

"Kalau kita tidak tegas dalam kes pertama, maka rancangan untuk ‘membersihkan’ unit-unit untuk membolehkan pihak yang layak menduduki PPR akan terjejas," katanya.

Beliau juga meminta kepada pihak-pihak luar yang ingin membantu penghuni PPR Taman Manggis ini agar menasihati mereka untuk berunding dengan kerajaan negeri dan bukan dengan kaedah berdemonstrasi atau berkampung di pekarangan Komtar.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan pagi ini mendapati terdapat enam keluarga membabitkan lebih 20 isi keluarga masih berteduh di lobi Komtar sejak Rabu lepas, kira-kira dua kilometer dari flat PPR Taman Manggis.

Rabu lepas, 22 penyewa unit PPR Taman Manggis diarah mengosongkan unit kediaman masing-masing selepas mereka hilang kelayakan menduduki rumah tersebut. - Bernama