Terengganu bentang Belanjawan 2022 berjumlah RM1.657 bilion

Ahmad Samsuri menunjukkan buku ucapan Belanjawan Terengganu 2022 bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ yang dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) pada Isnin.
Ahmad Samsuri menunjukkan buku ucapan Belanjawan Terengganu 2022 bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ yang dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu pada Isnin membentangkan Belanjawan 2022 berjumlah RM1.657 bilion, sedikit meningkat berbanding RM1.375 bilion pada tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan membelanjakan RM1.657 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM600 juta perbelanjaan pembangunan dan RM40 juta bagi perbelanjaan bekalan air.

“Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM92.99 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.56 bilion bagi perbelanjaan bekalan.

“Ia melibatkan sebanyak RM264.84 juta untuk emolumen, RM244.47 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM22.14 juta untuk aset, RM1.032 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM1 juta untuk lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) pada Isnin.

Menurut Ahmad Samsuri, di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sejumlah RM400 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan, RM230 juta bagi pemberian kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi.

Beliau berkata, sebanyak RM664.71 juta adalah bagi pemberian kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM270 juta pula untuk program-program pelbagai perkhidmatan di bawah pejabat setiausaha kerajaan.

”Di bawah perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM436.92 juta atau 72.8 peratus diperuntukkan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan.

Artikel Berkaitan:

“RM137.28 juta iaitu 22.88 peratus pula untuk sektor pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka dan RM25.8 juta (4.30 peratus) untuk sektor ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri termasuk industri mikro, kecil dan sederhana,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri menganggarkan mendapat jumlah hasil sebanyak RM1.507 bilion.

Ia meliputi sebanyak RM61.02 juta daripada hasil cukai, RM157.49 juta daripada hasil bukan cukai dan RM1.28 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk royalti petroleum.

“Belanjawan ini mengandungi 147 inisiatif di bawah 22 objektif yang dipayungi oleh lima teras.

“Lima teras itu adalah memperkuat daya tahan isi rumah, memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat, memperbaik ketersediaan kemudahan rakyat, memberdaya pertumbuhan ekonomi negeri dan memperindah persekitaran dan melindungi alam,” katanya.

End