X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 05 Disember 2021

Negeri dapat dana jika hasil kerajaan Persekutuan meningkat

Yamani Hafez
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri akan menerima bahagian atau agihan perkongsian hasil sekiranya kerajaan Persekutuan menerima sebarang pertambahan hasil, kata Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa.

Beliau berkata, ini berikutan secara lazimnya, Kementerian Kewangan akan menyediakan peruntukan berjumlah RM250 juta setahun untuk diagihkan kepada semua kerajaan negeri dan dilaksanakan setelah Jabatan Akauntan Negara mengesahkan terdapat pertambahan hasil tahunan kerajaan Persekutuan serta data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Menurutnya, pemberian pertambahan hasil itu dibuat mengikut peruntukan Akta Pemberian Pertambahan Hasil 1977 dan Akta Pemberian Pertambahan Hasil (Pindaan) 2007.

“Pemberian itu berasaskan kepada prinsip perkongsian hasil. Apabila terdapat pertambahan dalam hasil kerajaan Persekutuan pada satu-satu tahun kewangan berbanding tahun yang sebelumnya, ia akan diterima oleh negeri-negeri itu.

“Oleh itu, sekiranya terdapat peningkatan hasil walaupun hanya RM1 di peringkat kerajaan Persekutuan, maka kerajaan negeri akan menerima pemberian itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Yamani Hafez menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Iskandar Puteri) yang bertanyakan sama ada kerajaan berhasrat untuk menambah jumlah perkongsian hasil diterima kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri bagi membolehkan kerajaan negeri mengurangkan kebergantungan kepada hasil penjualan dan penerokaan tanah dalam menampung perbelanjaannya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!