Lebih RM12 juta dibelanja pulihara hutan Kedah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih RM12 juta telah dibelanjakan untuk kerja pemuliharan dan penyelenggaran hutan di Kedah termasuklah menyelenggara Taman Eko Rimba dan petak Hutan Pemeliharaan Bernilai Tinggi (HCVF) dalam tempoh tiga tahun sejak 2018.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lebih RM2.5 juta telah dibelanjakan pada tahun 2018 untuk kerja-kerja pembangunan hutan seperti kerja penanaman kawasan mengaya, restorasi hutan tanaman bakau dan rawatan pokok bakau.

Katanya, antara kerja lain turut dilaksanakan adalah inventori hutan sebelum dan selepas tebangan, mengukur dan mencuci sempadan Hutan Simpanan Kekal, penyelenggaraan Taman Eko Rimba dan pembinaan tapak semaian serta bahan tanaman.

"Pada 2019, lebih RM4.86 juta telah dibelanjakan untuk kerja-kerja pembangunan hutan di Kedah seperti kerja mengaya, restorasi hutan, tanaman bakau, rawatan pokok bakau, inventori hutan sebelum dan selepas tebangan selain mengukur dan mencuci sempadan Hutan Simpanan Kekal, menyelenggara Taman Eko Rimba, penubuhan petak HCVF serta pembinaan tapak semaian dan bahan tanaman.

"Lebih RM4.85 juta lagi turut dibelanjakan kerajaan negeri untuk tujuan sama pada 2020," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Amanah- Alor Mengkudu) berkaitan skop kerja pemuliharaan dan penyelenggaran hutan di Kedah termasuklah jumlah perbelanjaan pada 2018, 2019 dan 2020 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, keluasan kawasan berhutan di negeri Kedah ialah seluas 344,865.09 hektar meliputi Hutan Simpanan Kekal (341,895.95 hektar), cadangan Hutan Simpan Kekal (2,514 hektar) dan tanah kerajaan (455,14 hektar)

Muhammad Sanusi memberitahu, keluasan Hutan Simpanan Kekal yang telah diwartakan adalah berjumlah 341,895.95 hektar dan melalui rekod Jabatan Perhutanan Negeri Kedah kawasan Hutan Simpanan Kekal yang diceroboh adalah seluas 3,428 hektar.

Ketika menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai) Muhammad Sanusi memberitahu, Kedah memperolehi Sijil Pengurusan Hutan (PPH) pada 2003 melibatkan Hutan Simpanan Kekal seluas 310,951 hektar.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, sijil pengurusan hutan Kedah digantung sejak 2019 kerana gagal mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk projek-projek yang dilaksanakan di kawasan hutan simpan.

"Alhamdulillah, selepas diberi semula sijil ini, kita akan pastikan semua projek-projek yang dibangunkan dalam kawasan ladang hutan mematuhi semua kriteria ditetapkan piawaian antarabangsa bawah International Tropical Timber Organisation (ITTO) yang mengendalikan standard kayu-kayan yang boleh dieksport," katanya.

Muhammad Sanusi turut menyatakan kerajaan negeri akan menguruskan hutan di Kedah dengan sebaik mungkin, sekali gus memastikan sijil pengurusan hutan Kedah yang diterima semula pada Oktober lepas tidak akan digantung lagi selepas ini.