Kerajaan campuran: Langkah terbaik hadapi PRU15

Muhammad Khalil
Muhammad Khalil
A
A
A

KUANTAN - Cadangan mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri ditadbir BN dan Pas merupakan langkah terbaik bagi kerjasama dua parti tersebut.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dari segi aspek politik banyak jalan dan kaedah boleh dilakukan walaupun Pas bersama dalam kerajaan dipimpin BN.

"Perkara ini boleh terjadi seperti mana kita menyokong Kerajaan Selangor ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar Selangor.. walaupun kita sudah putus hubungan dengan PR, namun kita tetap menyokongnya sebagai Menteri Besar.

"Apa pun saya anggap cadangan mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri ditadbir BN dan Pas sebagai positif,” katanya ketika ditemui sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-24 Dewan Pemuda Pas Paya Besar di sini, malam tadi.

Turut hadir sama, ADUN Panching, Mohd Tarmizi Yahaya.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan untuk mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri ditadbir BN dan Pas ketika ini.

Kerajaan campuran dikenali sebagai Kerajaan Penyatuan Ummah itu dijangka bermula di Terengganu diikuti Pahang, Kelantan dan Perlis.

Selasa lalu, UMNO dan Pas dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti itu mengumumkan kerjasama rasmi dengan agenda utama memfokuskan kepada penyatuan ummah.

Artikel Berkaitan:

Agenda utama kerjasama itu ialah penyatuan ummah tanpa meminggirkan kemajmukan dalam negara ini.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata cadangan mewujudkan kerajaan campuran itu juga akan membuktikan kerjasama Pas dan UMNO boleh pergi lebih jauh.

“Bukan seperti dinyatakan pemimpin PH yang menyebut kerjasama itu hanya akan bertahan sekerat jalan.

“Ia menunjukkan mereka takut kerjasama UMNO dan Pas kerana menggugat PH, saya pernah nyatakan bahawa tiada lagi pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya kecil selepas ini sehingga PRU15 sebaliknya hanya dua penjuru,” katanya.