Peluang cerah rampas Perak, Kedah

Ahmad berucap merasmikan persidangan berkelompok UMNO Bahagian Dungun di Mayang Sari Resort, Dungun, semalam.
Ahmad berucap merasmikan persidangan berkelompok UMNO Bahagian Dungun di Mayang Sari Resort, Dungun, semalam.
A
A
A

DUNGUN - UMNO mempunyai peluang cerah untuk merampas semula Perak dan Kedah dari PH pada PRU15 jika hasrat mewujudkan kerajaan campuran antara UMNO dan Pas menjadi kenyataan.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keyakinan itu berdasarkan senario secara keseluruhan terutama jika mengambil kira keputusan PRU14 pada Mei tahun lalu.

Menurutnya, sekiranya jumlah undi yang diperoleh calon UMNO dan Pas digabungkan, contohnya di Parlimen Parit Buntar dan Parlimen Pokok Sena yang masing-masing dimenangi Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Datuk Mahfuz Omar, ia akan memberi kemenangan kepada kerajaan campuran UMNO dan Pas.

"Puluhan kawasan Parlimen lain juga kita boleh rampas balik sekiranya kita benar-benar wujudkan kerajaan perpaduan ini atas nama Islam dan Melayu yang mengabungkan dua parti terbesar umat Islam di negara ini.

"Peluang untuk orang Islam dan Melayu untuk berkuasa balik di tanah air kita ini adalah lebih cerah sekiranya kedua-dua parti ini benar-benar bersatu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Dungun di Mayang Sari Resort, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam bahawa UMNO mencadangkan diwujudkan kerajaan campuran bersama Pas di empat negeri yang ditadbir kedua-dua parti tersebut.

Katanya, kerajaan campuran yang dikenali sebagai Kerajaan Penyatuan Ummah itu akan bermula di Terengganu diikuti Pahang, Kelantan dan Perlis.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga bekas menteri besar berkata, kewujudan kerajaan campuran itu bukan bererti wujudnya sentimen agama kerana ia bukan sahaja melibatkan perpaduan antara orang Melayu dan Islam tetapi juga mereka akan turut berpadu dengan bangsa-bangsa lain yang mahu bersama mereka.

Artikel Berkaitan:

"Cuma kita tekankan kepada peranan ummah itu dan sebab penyatuan ummah itulah kita boleh capai kemenangan di PRK Cameron Hinghlands dan Semenyih.

"Insya-ALLAH dengan penyatuan ummah ini, kemenangan akan terus kita capai di PRK DUN Rantau dan di tempat-tempat lain," katanya.