Peniaga kecil, penjaja mohon bantuan kawasan niaga berbumbung, food truck

(Dari kiri) Ahmad, Noraffizanwati Ismail, Saniah Aluwi, Izhar Ramli
(Dari kiri) Ahmad, Noraffizanwati Ismail, Saniah Aluwi, Izhar Ramli
A
A
A

MELAKA - Peniaga kecil atau penjaja di Melaka memohon agar kerajaan negeri itu dapat memberikan bantuan dari segi penyediaan tapak gerai berbumbung atau trak makanan (food truck) sebagai salah satu inisiatif dalam membantu menaiktaraf perniagaan mereka.

Seorang peniaga cendol, Saniah Aluwi, 60, berharap kerajaan negeri dapat mendengar keluhan peniaga yang mahukan kemudahan itu bagi memudahkan mereka berniaga di bawah satu bumbung.

Menurutnya, kemudahan tersebut sekali gus dapat mengelakkan isu khemah patah atau rosak teruk gara-gara hujan lebat atau ribut.

“Kalau boleh buatkan kami satu gerai sederet, ada lot untuk berniaga. Senang kalau hujan kita semua selamat. Pernah sekali kawasan di sini dilanda ribut, habis semua tiang khemah patah dan nak ganti baharu bukannya murah.

“Saya pernah mohon agar disediakan tapak niaga berbumbung, namun sampai sekarang tidak ada sebarang maklum balas daripada pihak atasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Saniah, pada masa sama, dia turut berdepan masalah untuk mendapatkan kontrak berniaga selama setahun tanpa sebab yang kukuh sedangkan gerainya sudah lima tahun beroperasi.

Katanya, dia sudah menghantar surat rayuan sebanyak dua kali berhubung isu tersebut tetapi tidak dilayan sedangkan ada peniaga lain yang baharu sahaja berniaga sudah boleh mendapat kontrak selama setahun.

“Sudah lima tahun berniaga tapi saya masih kena perbaharui kontrak setiap tiga bulan sekali dengan bayaran RM65 berbeza dengan lesen diperbaharui setian tahun, hanya bayar RM50 sahaja untuk setahun. Kami berniaga tepi jalan bukannya untung sangat.

Artikel Berkaitan:

“Sedangkan peniaga yang baharu berniaga boleh dapat kontrak setahun. Bila ditanya, tidak ada alasan kukuh yang diberikan sampai sekarang,” keluhnya.

Sementara itu, Izhar Ramli, 55, turut berharap agar kerajaan negeri boleh mempertimbangkan inisiatif penyediaan food truck untuk memudahkan urusan pengoperasian penjaja.

Tambah peniaga kopi itu, food truck membolehkan peniaga membawa lebih banyak barang niaga dan memudahkan mereka untuk bergerak ke mana-mana bagi mencari rezeki.

“Tak perlu lagi nak pakai khemah, lagipun kalau datang angin kuat, mana nak lari? Khemah ni kalau hujan lebat, besar kemungkinan boleh menghempap kita yang berada di bawah.

“Kalau kerajaan yang bakal dibentuk nanti kukuh, amanah dan bersih, mereka pasti akan cari jalan untuk bantu naik taraf penjaja macam kami.

“Yang pentingnya kerajaan mesti rajin turun padang tengok keadaan kami sebagai peniaga kecil supaya masalah yang dihadapi boleh sampai terus kepada mereka,” katanya.

Bagi penjual ayam goreng pula, Saiful Ismail berkata, keadaan jalan yang agak sempit di kawasan berkenaan turut menyukarkan pergerakan kenderaan dan pelanggan yang datang membeli barangan.

“Penjaja macam kami harap lepas ini tidak perlu pakai payung, buatkan tapak niaga berbumbung. Jalan agak sempit dengan kereta lalu lalang, ini akan menyusahkan kedua-dua belah pihak.

“Selain itu, bantuan berbentuk kewangan juga sangat diharapkan daripada kerajaan negeri terutamanya untuk kami yang mengalami kesukaran mencari sumber pendapatan disebabkan penularan wabak Covid-19,” luah pemuda berusia 20 tahun itu.

Dalam pada itu, peniaga pakaian di salah satu pusat percutian di Melaka, Noraffizanwati Ismail, 43 berharap agar kerajaan negeri dapat memperbanyak program atau latihan khusus untuk peniaga kecil yang sedang bangkit perlahan-lahan ketika ini.

Katanya, enam tahun lalu dia pernah menyertai program anjuran kerajaan khusus untuk membantu ibu tunggal yang sedang atau mahu menjalankan perniagaan.

“Enam tahun lepas saya ada masuk program yang mana kami diberi peralatan untuk berniaga seperti khemah, kerusi dan meja untuk ibu tunggal. Tapi itulah sekali saja saya dapat setakat ini.

“Selain itu, kerajaan sepatutnya berusaha untuk seragamkan buat kedai berbumbung supaya keadaannya lebih teratur, terutamanya di kawasan pelancongan seperti ini,” luahnya.

Bagi peniaga air yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 48, berkata, kerajaan negeri juga digalakkan agar memperkasakan e-dagang sebagai satu platform pemasaran terbaik dalam menaik taraf perniagaan peniaga kecil khususnya di Melaka.

“Sekarang mana-mana bisnes pun banyak yang memfokuskan aspek digital dalam pemasaran produk mereka dan kami juga harap diberi peluang tersebut.

"Kebanyakan peniaga tepi jalan ni bergantung hidup dengan berniaga. Kalau untung sikit, maka sikitlah, begitulah sebaliknya. Jadi, saya harap peniaga yang kurang ilmu tentang e-dagang seperti kami ini diberi kami kursus atau latihan supaya sedikit sebanyak dapat menimba ilmu dalam bidang pemasaran digital ini,” ujarnya.