Siong Jiul mahu perjuang nasib penduduk Machap Jaya

A
A
A

Siong Jiul bertanya khabar golongan peniaga di DUN Machap Jaya.
Siong Jiul bertanya khabar golongan peniaga di DUN Machap Jaya.

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbaki beberapa hari lagi dan kehangatannya semakin dirasai oleh semua calon yang bertanding (PRN) termasuk calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya yang menyaksikan pertandingan sehingga lima penjuru.

Calon Perikatan Nasional (PN), Tai Siong Jiul bertanding melawan Ngwe Hee Sem (Barisan Nasional), Law Bing Haw (Pakatan Harapan), Abdul Aziz Osani Kasim (IMAN) dan Azlan Daud (Bebas).

Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid bersama Siong Jiul mengenai kempen dan perubahan yang akan dibawanya.

SINAR HARIAN: Apa perasaan tuan apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan tuan bertanding mewakili PN pada PRN Melaka?

TAI SIONG JIUL: Ditanya tentang perasaan, tentulah saya gembira kerana bukan sahaja menjadi ahli Bersatu tetapi dicalonkan untuk PRN Melaka. Sebenarnya, saya telah memerhatikan Bersatu sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. Saya beri tumpuan sambil melihat isu-isu yang berlaku. Saya ikuti pergerakannya dan melihat beliau banyak membantu masyarakat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semasa pembentukan Bersatu, saya lihat parti ini mempunyai sayap yang boleh disertai oleh pelbagai kaum. Dari situlah timbulnya minat. Sebelum ini, saya pernah menyertai MCA tetapi berundur pada tahun 2006. Sebagai ahli perniagaan, saya juga mengikuti perkembangan politik negara dan memilih Bersatu kerana percaya parti ini boleh membawa masyarakat ke arah kemajuan dan perpaduan negara.

Artikel Berkaitan:

Apa yang tuan lihat mengenai kerusi DUN Machap Jaya ini?

DUN Machap Jaya ini terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Cina merangkumi 40 peratus, Melayu (43 peratus), India (13 peratus) dan bakinya kaum-kaum lain. Saya gembira mewakili DUN ini kerana saya bukan hanya tinggal di sini tetapi anak jati kawasan ini dan kebetulan DUN ini berbilang kaum. Saya mahu lakukan sesuatu sambil menjalinkan perpaduan dan mahu berkhidmat serta memajukan kawasan ini.

Apa komen tuan mengenai saingan lima penjuru di Machap Jaya?

Persaingan lima penjuru ini menunjukkan negara kita mengamalkan demokrasi dan rakyat boleh menentukan wakil yang mereka mahukan. Pada saya PN merupakan satu kombinasi yang cukup matang dan boleh membawa masa depan Malaysia.

Bagaimana dengan suasana kempen atau halangan yang tuan hadapi dalam PRN Melaka?

Setakat ini tidak ada banyak halangan kerana masyarakat mengenali saya. Saya boleh berkomunikasi dengan mereka secara langsung di kedai-kedai makan. Saya hanya memerlukan platform media seperti risalah, WhatsApp, Facebook untuk disebarkan di kawasan ini.

Saya juga mendapat bantuan daripada rakan-rakan sekolah dahulu dari semua bangsa. Merekalah yang membawa dan memperkenalkan saya kepada orang ramai. Gambar-gambar saya turut tersebar di setiap rumah. Cara ini membuatkan saya lebih yakin dan sedia berkhidmat hasil sokongan padu mereka.

Dalam situasi norma baharu, memang terdapat sekatan tetapi dengan pendekatan secara personal dan duduk bersama di kedai kopi secara santai sambil bertanya khabar, ia merupakan satu kaedah yang istimewa.

Siong Jiul (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk Machap Jaya di sebuah kedai makan.
Siong Jiul (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk Machap Jaya di sebuah kedai makan.

Apa perancangan dan perubahan yang akan dibawa sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat di sini?

Ramai bertanya apa perubahan yang boleh saya buat untuk mereka. Saya menekankan soal kesihatan dan keselamatan. Seperti contoh di Machap Umboo, ramai warga emas tinggal sendirian kerana anak-anak merantau jauh. Mereka ini mempunyai pelbagai penyakit.

Saya lihat, dalam pergolakan politik ini tiada orang atau persatuan yang membantu mereka untuk membuat rawatan di klinik kesihatan sejauh 7 kilometer. Setiap bulan atau dua kali sebulan mereka ini perlu ke klinik untuk rawatan susulan tetapi mereka tidak pergi kerana tiada pengangkutan. Sebagai calon saya segera bertindak menyediakan kenderaan dan pemandu untuk membawa warga emas ke klinik kesihatan. Cara ini bukan sahaja mendekatkan saya dengan mereka tetapi membuatkan mereka gembira kerana dibantu.

Saya juga menekankan faktor alam sekitar kerana Machap Umboo dan Machap Jaya yang terkenal dengan penternakan ayam ini mempunyai masalah alam sekitar. Penduduk pula tidak berani bersuara. Saya mahu kawasan persekitaran penduduk ditingkatkan termasuk isu jalan yang tidak dinaiktaraf sejak 40 tahun. Isu lain melibatkan pemilikan tanah kerana Machap dan Machap Umboo merupakan kawasan Cina yang kebanyakan mereka terdiri daripada pekebun kecil. Mereka mahu anak-anak mereka nanti mewarisi tanah yang mereka duduki. Sekiranya saya diberi peluang, saya bertekad mahu menyelesaikan masalah dan merealisasikan kehendak mereka.

Apa yang membuatkan tuan berminat untuk menjadi wakil rakyat?

Saya seorang yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kebetulan pula ini merupakan kampung saya sendiri. Saya memilih Bersatu kerana saya percaya menerusi platform politik ini saya boleh memperjuangkan pelbagai isu rakyat masyarakat setempat. Saya berhadap rakyat di kawasan ini dapat memberi peluang kepada saya untuk mewakili suara mereka.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Tai Siong Jiul

Umur: 54 tahun

Lahir: Machap Umboo

Pekerjaan: Ahli perniagaan

Keluarga: Anak kedua daripada empat orang adik-beradik

Pendidikan:

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), St Francis Institution, Melaka

Jawatan dalam parti:

Pengerusi Bersekutu Bersatu Cawangan Machap Umboo