Pas, UMNO bukan penyatuan

Ahmad Fadhli (kiri) semasa Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas Kali Ke-41, yang berlangsung di Madrasah Tahfiz Darul Ulum, Meranti.
Ahmad Fadhli (kiri) semasa Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas Kali Ke-41, yang berlangsung di Madrasah Tahfiz Darul Ulum, Meranti.
A
A
A

PASIR MAS - Hubungan akrab antara Pas dan UMNO yang berlaku ketika ini bukanlah dalam bentuk penyatuan dua parti terbesar Melayu-Islam sebaliknya ia hanya kerjasama politik sahaja.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerjasama itu bagi memastikan tidak lagi wujud pertandingan tiga penjuru antara Pas dan UMNO (BN) untuk melawan PH pada PRU15 nanti.

"Ini bukan penyatuan, tetapi hanyalah kerjasama. Kalau penyatuan seperti bubar parti Semangat 46 masuk UMNO yang pernah berlaku satu ketika dahulu.

"Kita hanya mahu pertembungan satu lawan satu sahaja dengan PH selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan penyatuan Pas dan UMNO yang dilihat berlaku ketika ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas Kali Ke-41, yang berlangsung di Madrasah Tahfiz Darul Ulum, Meranti.

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

Pada mesyuarat tersebut, Ahmad Fadhli mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas bagi memberikan laluan kepada muka baharu.

Artikel Berkaitan:

Perasmian mesyuarat itu disempurnakan oleh Naib Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan, Ariff Abdullah.

Menurutnya, Pas sudah boleh dikatakan menjalinkan kerjasama dengan semua parti yang ada di negara ini.

Katanya, pada tahun 1978 Pas sudah bekerjasama dengan UMNO dan memutuskan hubungan pada 1989.

"Selepas itu kita kerjasama dengan Semangat 46. Tahun 1999 hingga 2004 dengan DAP," katanya.

Ahmad Fadhli berkata, beliau yakin dan percaya ahli Pas sudah bijak dalam membuat penilaian dalam soal kerjasama itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fadhli berkata, tiada keperluan untuk mengadakan program secara bersama antara kedua-dua parti itu di negeri ini.

Katanya, ia hanya cukup dengan kenyataan pimpinan atasan membuat satu persefahaman secara bersama.