X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Pemain pamer aksi memberangsangkan

A
A

MESKIPUN berdepan kekangan dalam menjalani latihan susulan pandemik Covid-19, sejumlah 350 pemain masih mampu mempamerkan aksi memberangsangkan pada Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan ke-16 yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil di sini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S. Maniam berkata beliau puas hati dengan aksi dipamerkan oleh semua peserta sepanjang kejohanan empat hari itu yang berakhir pada Ahad.

Beliau berharap momentum positif itu dapat dikekalkan menjelang kejohanan yang akan berlangsung pada pertengahan bulan Januari tahun depan.

"Meskipun berdepan kekangan susulan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya amat gembira dengan tahap prestasi semua pemain bermula dengan B11 (Bawah 11 Tahun) hinggalah B19 (Bawah 19 tahun) manakala penyertaan juga adalah memuaskan secara keseluruhan.

"Menjelang akhir tahun ini, kami merancang untuk menganjurkan Karnival Remaja yang kemudian ditunda sehingga tahun depan antara minggu pertama dan kedua bulan Januari," katanya kepada Bernama.

Maniam berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Arena Nicol David di Pusat Skuasy Nasional pada Ahad.

Beliau juga berkata SRAM amat menghargai sokongan yang diberikan oleh Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan serta penaja dalam memastikan agenda sukan itu di Malaysia dapat diteruskan pada masa-masa yang mencabar ini.

Sementara itu, hari terakhir Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan ke-16 menyaksikan Joachim Chuah dari Wilayah Persekutuan dan Yee Xin Ying dari Sabah menduduki tempat teratas kategori lelaki dan wanita B19 selepas menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan akhir.

Harith Danial dan K. Sehveetrraa dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS) pula muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita B17 manakala Low Wa Sern dan Whitney Issabella Wilson, juga dari BJSS, dinobat sebagai pemenang bagi kategori B15.

Onn Jayden dari Wilayah Persekutuan dan Harleein Tan dari Negeri Sembilan memenangi kategori B13 manakala kategori B11 menyaksikan W. Lokkesh dari Negeri Sembilan dan Choo Yi Xin dari Kedah muncul juara. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!