Marsha Milan ‘Bimbang’ untuk peminat

No Image Caption
A
A
A

MESKIPUN semenjak akhir-akhir ini dilihat lebih aktif dalam bidang lakonan, penyanyi Marsha Milan tidak pernah berhasrat meninggalkan nyanyian, apatah lagi bidang inilah yang membawanya kepada dunia seni semenjak 2005.

Membuktikan kata-katanya itu, Marsha yang mula dikenali selepas menyertai program Akademi Fantasia (AF) musim ketiga ini tampil dengan single terbaharu, Bimbang, yang disifatkan terlalu istimewa buat buat dirinya.

Marsha yang cukup dikenali sebagai seorang ceria ternyata tidak dapat menahan sebak ketika majlis pelancaran lagu dan muzik video di Redbox The Garden baru-baru sekali gus meluahkan kelegaan apabila lagu ini akhirnya diperdengarkan kepada umum.

“Bukan mudah untuk tampil dengan single baharu, apatah lagi saya bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana label.

“Justeru banyak dugaan dan cabaran yang dilalui untuk lagu ini terutama sepanjang pembikinan muzik videonya di mana saya terlibat hampir 90 peratus dari segi olahan idea dan konsep.

"Jadi apabila lagu ini akhirnya menemui peminat, saya rasa sangat lega dan mengharapkan agar ia mendapat respon yang positif sekali gus mereka kembali melihat saya sebagai seorang penyanyi,” ujar Marsha.

Lagu ciptaan komposer muda, Farouk Roman dan lirik oleh Amylea Azizan yang diedarkan di bawah label Seventeen Eleven Music ini juga merupakan lagu runut bunyi drama rantaian popular, Nur 2, yang bakal disiarkan di kaca TV tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Tidak menafikan populariti drama tersebut turut memberi tempias untuk mempromosikan lagu ini, Marsha bagaimanapun mengakui single terbabit mempunyai kekuatannya yang tersendiri, malah berkongsi kisah yang begitu dekat dengan kebanyakan wanita di luar sana.

“Bimbang menceritakan tentang situasi wanita yang diduakan cintanya. Namun dalam masa yang sama ia juga boleh dilihat dari perspektif yang berbeza sebagaimana saya melihatnya sebagai imbasan perjalanan kehidupan yang pernah dilalui sebelum dan selepas saya memeluk Islam.

“Ketika merakamkan lagu ini, saya tidak merasakan perasaan yang begitu mendalam, namun apabila berkali-kali menyanyikannya, ia semakin masuk ke jiwa dan merasakan ia begitu dekat dengan saya,” akuinya jujur.

Mengharapkan cahaya mata

No Image Caption

Dalam perkembangan lain, Marsha yang juga bakal tampil dengan sebuah program terbaharu terbitan RTM, Muzikah, selain bersedia untuk penggambaran drama baharu.

“Insya-ALLAH saya akan ke Sabah dalam masa terdekat untuk menjalani penggambaran program Muzikah yang akan disiarkan di RTM nanti.

“Untuk lakonan pula, ada beberapa tawaran yang sedang menanti, namun saya kini masih dalam proses menyusun jadual kerja agar penggambarannya nanti tidak bertembung atau mengganggu aktiviti promosi single Bimbang.

“Buat masa ini sememangnya tumpuan saya adalah kepada single baharu dan mahu orang tahu yang saya ini masih aktif sebagai penyanyi biarpun banyak tampil sebagai pelakon sebelum ini,” kata bintang filem Jwanita ini lagi.

Dalam pada itu, Marsha menyifatkan dirinya sebagai bertuah apabila sentiasa mendapat sokongan penuh daripada suaminya yang memberi keizinan untuk terus aktif dalam bidang seni.

“Suami tahu minat saya dalam bidang nyanyian dan dia juga ingatkan saya jangan tinggalkan bidang ini meski aktif sebagai pelakon. “Ini mungkin kerana dia juga meminati muzik dan sering memberikan nasihat serta pandangannya tentang banyak perkara berkaitan industri,” ujar Marsha.

Menyentuh soal kehidupan berumah tangga dan cahaya mata, Marsha tidak menafikan mengharapkan yang terbaik dalam hidupnya serta bergelar ibu suatu hari nanti.

“Dalam usia perkahwinan yang sudah memasuki tahun keempat ini, saya memang teringin sangat untuk memiliki cahaya mata dan kadang kala ada berbincang dengan suami mengenainya.

“Malah sebelum ini saya juga berjumpa ada berjumpa doktor untuk mendapat khidmat nasihat, selain mendapat rawatan urut untuk tujuan itu, namun ia masih belum berhasil.

“Apa pun saya tak mahu terlalu memikirkan tentang itu kerana percaya pada rezeki ALLAH, Mungkin ada sebab kenapa ALLAH belum bagi lagi sekarang,” ujar Marsha positif.