Agamawan sokong pendekatan Kedah haramkan kedai judi

Dari kiri : ABDUL RAHMAN,USTAZ WAN AKASHAH, ZAHARUDDIN
Dari kiri : ABDUL RAHMAN,USTAZ WAN AKASHAH, ZAHARUDDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan agamawan menyokong penuh pendekatan kerajaan negeri Kedah yang akan mengharamkan operasi semua kedai perjudian nombor ekor 4D di negeri itu.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, ia kerana semua agama sememangnya melarang perbuatan judi.

"Tahniah saya ucapkan kepada Kedah kerana melarang dan mengharamkan kedai judi ini daripada beroperasi.

"Perkara baik sebegini juga boleh diikuti oleh mana-mana negeri lain kerana kita tahu banyak masalah sosial berlaku disebabkan judi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Ahad bahawa negeri itu akan mengharamkan operasi semua kedai perjudian di negeri itu.

Langkah itu dibuat dengan tidak meluluskan lesen perniagaan baharu selain tidak memperbaharui lesen perniagaan kedai judi yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sebagai langkah menangani penyakit akibat perjudian.

Kata Muhammad Sanusi, usaha itu bagi memastikan Kedah bebas daripada perjudian kerana seperti yang diketahui perbuatan itu menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun selain mengakibatkan masalah hutang.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menegaskan, berjudi sememangnya banyak mendatangkan masalah sosial termasuk mendorong seseorang melakukan jenayah berat.

Artikel Berkaitan:

"Selain keluarga boleh hancur kerana berlakunya pengabaian nafkah dan tanggungjawab terhadap anak-anak dan isteri, ia juga mencetuskan pelbagai kes jenayah.

"Kes jenayah itu termasuklah bergaduh, mencuri dan lebih teruk berlakunya pembunuhan kerana timbulnya rasa tidak puas hati ketika berjudi," katanya.

Sementara itu, menurut pendakwah bebas yang juga pakar perunding keluarga, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, judi adalah perbuatan yang merosakkan sistem kekeluargaan.

"Ia juga merosakkan diri individu itu sendiri kerana mereka akan menjadi malas, tidak berdaya saing dan hanya berharap pada nasib semata-mata.

"Judi juga mendatangkan kemurkaan ALLAH SWT kerana ia jelas dilarang dalam al-Quran dan hadis," katanya.

Dalam perkembangan sama, penceramah bebas, Profesor Dr Zaharuddin Abdul Rahman menganggap pendekatan kerajaan Kedah itu sebagai satu tindakan yang sangat bagus dan berani.

"Pendekatan ini perlu disokong semua rakyat juga dan saya rasa masyarakat bukan Islam juga turut menyokong inisiatif ini kerana tidak semua daripada mereka suka dengan judi disebabkan mereka boleh lihat sendiri betapa banyaknya kesan buruk berjudi.

"Larangan ini akan menjadi satu langkah kemanusiaan kerajaan untuk menyelamatkan masyarakat daripada kesan-kesan negatif perbuatan judi ini," katanya.

Beliau yang juga Tokoh Kewangan Islam berkata, hakikatnya judi hanya satu industri yang hanya menguntungkan pemilik pusat judi sahaja.

Sebaliknya, ujarnya, kaki judi pula terhimpit dengan pelbagai masalah dan berdepan pelbagai bala bencana akibat tabiat buruk itu.

"Judi adalah satu industri yang hakikatnya pemainnya selalu kalah. Ia hanya menangkan pemilik kedai judi sahaja. Kalau ada yang menang pun sekali dua sahaja dan duit itu pun habis begitu sahaja termasuk digunakan semula untuk berjudi," katanya lagi.