UNFCCC COP-26 penting laksana Perjanjian Paris: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengalu-alukan keputusan yang dipersetujui di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26), yang membolehkan pelaksanaan Perjanjian Paris.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut penting dalam menyokong usaha di peringkat global bagi memastikan matlamat mengehadkan pemanasan global pada tahap 1.5 darjah Celsius tercapai.

"Adalah penting bagi negara untuk melaksanakan segera keputusan-keputusan tersebut dan KASA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan secara inklusif dan holistik bagi mencapai Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) negara.

"Semasa persidangan ini, saya telah menyampaikan Kenyataan Negara di Sesi Peringkat Tinggi Persidangan UNFCCC COP-26 pada Rabu lepas yang merangkumi sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) melalui pengemaskinian NDC dan aspirasi pelepasan GHG sifar bersih seawal-awalnya pada 2050," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Persidangan negara ahli kepada UNFCCC COP-26 merupakan mesyuarat berjadual yang diadakan pada setiap tahun bagi memastikan komitmen dan obligasi negara ahli dilaksanakan mengikut keputusan yang telah ditetapkan.

Bagi tujuan ini, COP berperanan untuk menetapkan hala tuju bagi menangani isu perubahan iklim untuk dirunding, dimuktamad serta dilaksanakan oleh semua negara ahli.

Tuan Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia menghadiri UNFCCC COP- 26, yang diadakan di Glasgow, Scotland dari 31 Oktober hingga 12 November lepas bagi merundingkan agenda utama persidangan itu.

Antara keputusan utama yang dipersetujui di persidangan UNFCCC COP-26 adalah modaliti, garis panduan dan program kerja di bawah Artikel 6 yang melibatkan garis panduan bagi mekanisme pasaran karbon dan mekanisme bukan pasaran dan tempoh masa sepunya pelaksanaan NDC di bawah Artikel 4 iaitu menggalakkan NDC dikemukakan setiap lima tahun dengan tempoh masa pelaksanaan selama 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, antara perkara yang turut dipersetujui ialah format pelaporan bagi Inventori GHG, pemantauan pencapaian NDC, pelaporan dana yang diberi dan diterima, pelaporan Biennial Transparency Report (BTR) serta pembangunan kapasiti di bawah Artikel 13, melancarkan pelaksanaan program kerja komprehensif mengenai Global Goal on Adaption bermula 2022 di bawah Artikel 7 dan pembiayaan jangka masa panjang perubahan iklim.

Dalam persidangan itu, Malaysia juga telah bersetuju untuk menyertai Ikrar Metana Global dan Deklarasi Pemimpin Glasgow mengenai Hutan dan Guna Tanah. - Bernama