Pasukan pemantau kempen ditubuh setiap DUN

Afzanizar (dua kanan) bersama pegawai dan anggotanya ditemui Sinar Harian selepas rondaan SOP Covid-19 di sekitar Jonker Walk, pada Ahad.
Afzanizar (dua kanan) bersama pegawai dan anggotanya ditemui Sinar Harian selepas rondaan SOP Covid-19 di sekitar Jonker Walk, pada Ahad.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di setiap dewan undangan negeri (DUN) bagi memantau proses pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pasukan ini diketuai seorang pegawai polis dengan dianggotai agensi lain iaitu SPR, pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta ejen bagi setiap calon bertanding.

"Di setiap DUN di daerah ini mempunyai pasukan khas terbabit. Setakat ini tahap kepatuhan proses kempen adalah di tahap memuaskan. Tidak ada kempen bersemuka dan ceramah di tempat awam," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat rondaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Jonker Walk di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, semua penduduk dan calon di Melaka Tengah patuh SOP dan diharap terus memberi kerjasama dengan pihak berkuasa agar proses kempen hingga hari mengundi nanti berjalan lancar.

Katanya, pihaknya mahu mereka yang layak mengundi dapat keluar mengundi tanpa rasa bimbang kerana tahap kesiapsagaan pihak berkuasa.

"Untuk pengetahuan juga, pihak KKM juga mendirikan satu khemah di setiap pusat mengundi bagi Tujuan saringan gejala Covid-19," katanya.

Mengulas berkenaan langkah pencegahan jenayah di daerah ini ketika PRN, Afzanizar berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan tugas ronda cegah jenayah.

"Selain membuat penghebahan SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), kami sememangnya mahukan pelancong yang hadir di sini rasa selamat dari menjadi mangsa kes ragut, samun dan pecah kenderaan," katanya.

Artikel Berkaitan: