65 pengunjung, penjaga pusat hiburan dikompaun langgar SOP

Abdul Majid Mohd Ali
Abdul Majid Mohd Ali
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 65 pengunjung warga tempatan sebuah pusat hiburan dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu terlibat dalam aktiviti pusat hiburan di Jalan Melaka Raya di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,000 kepada penjaga pusat hiburan berkenaan dalam serbuan kira-kira 1.20 pagi semalam.

Beliau berkata, serbuan berkenaan dilaksanakan oleh pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan dibantu anggota serta pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka.

"Kompaun dikeluarkan kerana individu berkenaan terlibat dalam aktiviti pusat hiburan yang dilarang pengoperasiannya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Mereka yang dikompaun merupakan antara 80 individu berusia 17 hingga 62 tahun yang ditahan di pusat hiburan berkenaan termasuk tujuh penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sembilan lelaki dan lima wanita warga asing turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) dan Peraturan 39 (b) akta sama.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas semua individu tersebut mendapati seorang lelaki tempatan dan empat wanita warga asing positif dadah jenis amphetamine. -Bernama

Artikel Berkaitan: