X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Tambah baik khidmat pusat media untuk petugas, calon

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (lima ,kiri) beramah mesra dengan petugas bilik operasi Command Center Barisan Nasional (BN) di Dewan Seri Chendana hari ini. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedia menambah baik perkhidmatan di pusat media Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelolaan kementerian itu bagi kemudahan mereka yang bertugas di situ.

Menteri berkenaan, Tan Sri Annuar Musa berkata, petugas media dialu-alukan untuk memajukan cadangan kepada KKMM bagi tujuan itu.

“Selepas ini, kita mungkin berdepan PRN atau pilihan raya kecil yang lain maka segala syor berdasarkan pengalaman petugas media boleh membantu kita menambah baik perkhidmatan pusat media yang kita wujudkan setiap kali ada pilihan raya,” katanya ketika melawat Pusat Media KKMM sempena PRN Melaka di Hotel Kobemas, Ayer Keroh pada Ahad.

Beliau berkata, pusat media yang diwujudkan juga bertujuan membantu calon yang tidak memiliki kemudahan sendiri.

“Saya harap semua calon tahu wujudnya pusat media ini termasuk untuk mengetahui nombor-nombor hubungan media bagi sampaikan sesuatu pemberitaan tentang mereka, jangan tunggu media datang kepada mereka,” katanya.

Annuar turut menyeru media agar memperbanyak kempen kesedaran berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan tahap kepatuhan SOP agak longgar dalam kalangan calon dan jentera parti yang bertanding.

Beliau memberitahu, langkah itu penting agar PRN Melaka tidak menjadi pencetus kepada jangkitan Covid-19 yang akhirnya akan memberi keyakinan kepada rakyat berkaitan penganjuran PRN lain termasuk PRN Sarawak.

“Ada lagi lebih kurang seminggu untuk berkempen dan masih belum terlambat perbaiki tahap kepatuhan parti dan calon bertanding, ia supaya tiada jangkitan akan berlaku di PRN Melaka dan rakyat akan yakin untuk kita jalankan PRN Sarawak nanti,” katanya.

Annuar berkata, calon atau pihak tertentu yang terkesan dengan berita palsu sepanjang PRN Melaka boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Beliau menjelaskan, MCMC akan memberi keutamaan kepada aduan itu dan segera mengambil tindakan.

“Sama ada PRN atau tidak, (mengenai) berita palsu ini MCMC akan ambil tindakan pantas dengan mengeluarkan penafian untuk berita tidak benar tersebut,” katanya. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!