Sindiket pelaburan tidak wujud cuba sogok polis RM200,000

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop (kanan) pada sidang media mengenai tangkapan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam laman sesawang Facebook di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, hari ini. -Foto Bernama
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop (kanan) pada sidang media mengenai tangkapan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam laman sesawang Facebook di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Polis menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai, di sini awal pagi Ahad kerana disyaki cuba menyogok anggota polis sebanyak RM200,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap lima rakannya yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan pada jam 1.40 pagi, kira-kira empat jam selepas penahanan rakan-rakannya yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, berumur dalam lingkungan 21 hingga 24 tahun.

Menurutnya, kelima-lima individu berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di bandar itu dan disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud menerusi laman Facebook sejak enam bulan lepas.

“Turut dirampas ialah 15 unit telefon bimbit, dua komputer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473, manakala RM200,000 serta dua telefon bimbit pula dirampas daripada lelaki yang cuba menyogok polis itu,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, modus operandi sindiket itu ialah dengan menyasarkan rakyat tempatan melalui promosi skim pelaburan di Facebook dan seterusnya berhubung dengan mangsa hanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, mereka juga dipercayai menggunakan pelbagai akaun bank dan nama skim pelaburan ditukar setiap tiga bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurut Mohamad, menerusi penahanan itu pihaknya dapat menyelesaikan 11 kes berkaitan sindiket itu, selain akan terus mengesan saki-baki individu yang terlibat.

Katanya, kesemua suspek direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Mohamad menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila berurusan secara dalam talian dan tidak mendedahkan maklumat peribadi serta perbankan. - Bernama