Penduduk dakwa jumpa ketulan emas di Bukit Lata

Penemuan ketulan batu-batu yang didakwa mengandungi emas di kawasan Bukit Lata, Rantau Panjang menggemparkan penduduk setempat dan dikongsi dilaman sosial Facebook.
Penemuan ketulan batu-batu yang didakwa mengandungi emas di kawasan Bukit Lata, Rantau Panjang menggemparkan penduduk setempat dan dikongsi dilaman sosial Facebook.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penemuan ketulan batu-batu yang didakwa mengandungi emas di kawasan Bukit Lata, di sini menggemparkan penduduk setempat.

Susulan itu, lokasi yang merupakan tapak projek tebatan banjir menjadi tumpuan penduduk setempat untuk melihat sendiri penemuan batu-batu berkenaan.

Bagaimanapun, lokasi itu telah ditutup sepenuhnya kepada orang luar susulan penemuan batu-batu yang didakwa mengandungi emas tersebut tular di laman sosial Facebook beberapa hari lalu.

Seorang penduduk dikenali sebagai Yeh, 45, mengakui terkejut sejurus menerima berita mengenai penemuan emas itu.

"Mulanya saya tidak percaya dengan berita tersebut, jadi bagi mendapatkan kepastian saya sendiri ke lokasi untuk melihat sendiri perkara tersebut," katanya.

Menurutnya, selepas melihat dan meneliti bentuk jalur kuning pada batu-batu itu ia mula percaya terdapat emas di situ.

Katanya, bagi mengukuhkan lagi telahan itu, dia telah membawa batuan tersebut kepada tukang emas untuk mendapatkan kepastian.

Yeh berkata, walaupun tukang emas sukar untuk mengesahkan batu itu mengandungi emas, namun dia tetap percaya terdapat emas pada batuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 64, berkata, perkara itu tidak mustahil kerana kawasan Bukit Lata memang kaya dengan sumber mineral seperti bijih besi.

"Jadi tidak mustahil jika kawasan itu mempunyai bahan semula jadi lain termasuk emas," katanya.

Menurutnya, disebabkan perkara ini telah tular di media sosial, tempat tersebut sudah ditutup kepada orang luar untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hasbullah, 27, memberitahu, dia tergamam dapat melihat sendiri situasi tersebut.

Katanya, dia serta beberapa rakannya telah ke tempat tersebut pada sebelah malam dan melihat sendiri kilauan seakan-akan emas apabila batu-batu yang ada di situ terkena cahaya lampu suluh.