PPM Semporna tahan lelaki seludup rokok Filipina

No Image Caption
A
A
A

SEMPORNA - Hasrat seorang lelaki menyeludup masuk 2,000 bungkus rokok dari Filipina untuk pasaran tempatan, terbantut apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Tongkaloh dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata lelaki warga Filipina berusia 29 tahun itu ditahan pada 10 pagi selepas bot ronda RH7 PPM Semporna mengesan sebuah bot dikendalikan suspek.

"Pemeriksaan ke atas bot menemukan empat kotak besar berwarna coklat mengandungi 2,000 rokok jenama Astro Menthol King yang tidak bercukai dari negara jiran.

"Tangkapan dan rampasan ini hasil maklumat disalurkan oleh Unit Risikan Marin (URM) mengenai aktiviti penyeludupan rokok di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, rampasan bot dan rokok bernilai RM55,882 serta tahanan ditunda ke Jeti PPM di sini untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Menurutnya, PPM sentiasa mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan dalam bersama-sama membantu membanteras sebarang elemen jenayah sekali gus menjaga keamanan.

Menurutnya, penyeludupan rokok antara jenayah yang perlu ditangani kerana mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian melalui ketirisan nilai cukai yang besar.- Bernama

Artikel Berkaitan: