MOSTI alu-alukan teknologi bantu kurangkan pelepasan karbon

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba (tiga, kiri) diberi penerangan oleh Pengurus Kilang Hiroyuki Industries Sdn Bhd Randy Law (dua, kiri) ketika dibawa melawat mesin memproses botol plastik kitar semula selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian antara Pengarah Hiroyuki Industries Sdn Bhd Hiroyuki Nakata (kiri) dengan Perunding Jualan Serantau Starlinger & Co Tee Guan Huat di Kawasan Perindustrian Murni, Senai hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

KULAI - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengalu-alukan teknologi terkini daripada pihak industri bagi menghasilkan produk membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sekali gus memberi jaminan terhadap kelestarian alam sekitar di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerjasama pelbagai pihak seperti menghasilkan teknologi tinggi bagi mengitar semula bahan terpakai, mampu merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon menjelang 2030.

"Bagi menyuburkan industri seperti ini, MOSTI sangat mengalu-alukan kehadiran teknologi terkini, misalnya proses melibatkan bahan terpakai seperti plastik yang merupakan antara usaha besar negara untuk mengurangkan pelepasan karbon," katanya kepada pemberita selepas melawat Kawasan Perindustrian Murni, Senai di sini pada Ahad.

Beliau berkata, bandar rendah karbon mampu membawa banyak kesan positif kepada seluruh masyarakat terutama dalam mengurangkan kesan perubahan iklim global.

Adham memberitahu, MOSTI akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi mencapai hasrat tersebut.

Katanya, penglibatan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara seperti dari Jepun dan Austria untuk membangunkan teknologi mengurangkan pelepasan karbon, juga bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan di negara ini.

Pada 3 November, dilaporkan Malaysia telah melaksanakan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) yang menyediakan strategi dan pelan tindakan untuk sektor pengangkutan darat bagi mencapai pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah kaca (GHG) menjelang 2030. -Bernama

Artikel Berkaitan: