PRN Sarawak: GPS mungkin menang besar namun...

Awang Azman
Awang Azman
A
A
A

KUCHING - Peluang Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) ke-12 memang ada namun ia bukanlah satu jaminan mutlak.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata melihat kepada situasi Pakatan Harapan (PH) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang bukan satu gabungan dan keadaan ini mampu memberi kelebihan buat GPS.

“Namun, ia bukanlah satu jaminan kerana GPS perlu memastikan penyokong mereka turun mengundi beramai-ramai, dan tidak terperangkap dengan keyakinan GPS pasti menang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi anggapan GPS pasti menang itu sebenarnya boleh meletakkan GPS dalam bahaya kerana ramai penyokong gabungan itu berada dalam zon selesa dan kurang terdorong untuk pergi mengundi.

“Ini lebih-lebih lagi didorong dengan kebimbangan pengundi terhadap risiko wabak COVID-19,” jelasnya.

Awang Azman menegaskan GPS kini pula perlu memastikan tidak ada perpecahan dalaman yang boleh mengakibatkan berlakunya protes, sabotaj, merajuk, kekecewaan, kemarahan akar umbi seperti perebutan menjadi calon.

“GPS juga perlu mengelak berlakunya lobi-melobi, pertembungan fraksi atau kumpulan tertentu, tercetusnya kem-kem tertentu yang membawa budaya politik yang tidak sihat yang boleh mengakibatkan undi berkurangan pada PRN Sarawak,” tambahnya.

Tarikh-tarikh penting PRN Sarawak hanya akan diketahui selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas di Kuching pada 24 November depan. - Awani

Artikel Berkaitan: