Kedah tidak luluskan lesen baharu judi, hadkan jualan arak

Muhammad Sanusi pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ahad.
Muhammad Sanusi pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk tidak memberi kelulusan kepada permohonan baharu lesen perjudian serta tidak memperbaharui lesen perjudian sedia ada sebaik ia tamat tempoh di seluruh negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat bagi mewujudkan persekitaran lebih baik untuk rakyat, selain mencapai sasaran ‘Kedah bebas judi’.

Menurutnya, lesen perjudian yang telah tamat tempoh tidak akan diperbaharui dan ia berkuat kuasa di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

“Keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Exco minggu lalu, kerajaan negeri melalui PBT tidak akan beri lagi kelulusan baharu lesen premis judi di semua daerah.

“Premis yang belum tamat tempoh lesen dibenarkan beroperasi, namun selepas tempoh lesen berakhir, tidak akan diperbaharui lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, aktiviti perjudian perlu dibanteras kerana ia antara punca kepada kerosakan dan keruntuhan tamadun khususnya institusi keluarga.

“Ramai yang terlibat dengan aktiviti ini dibelit dengan hutang seterusnya menimbulkan porak peranda dalam keluarga dan masyarakat. Ini sebahagian tanggung jawab kita selaku kerajaan negeri untuk kekang masalah ini,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mengumumkan ketetapan juga telah dibuat agar penjualan arak secara terbuka dihadkan hanya kepada pengguna bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Semua PBT di negeri ini akan pastikan kedua-dua peraturan ini dipatuhi. Bagi daerah yang tiada permintaan khususnya di luar bandar, premis menjual minuman keras ini akan dihadkan.

“Pengecualian akan diberikan kepada kedai bebas cukai di Langkawi yang dibenarkan penjualan minuman (keras) ini, namun kedai-kedai lain yang tidak mempunyai lesen, saya harap tidak lagi menjualnya secara terbuka,” katanya lagi.

Tambah beliau, penguatkuasaan akan dilakukan berdasarkan perundangan sedia ada.

“Ada minuman tin dengan kadar alkohol tertentu yang tidak dikategorikan sebagai arak, jadi PBT akan perhalusi perkara ini mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Muhammad Sanusi berharap rakyat negeri ini akan menyokong usaha yang dilakukan pihaknya susulan judi dan arak adalah ejen perosak yang perlu ditangani secara serius.