Bajet Johor 2022 tumpu usaha pulih ekonomi pasca Covid-19

HASNI
HASNI
A
A
A

MERSING - Belanjawan Johor 2022 yang bakal dibentangkan Khamis ini akan memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi pasca Covid-19 dan mengambil kira kepentingan pelbagai pihak.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri sedia maklum mengenai cabaran dihadapi rakyat berikutan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

"Ancaman Covid-19 yang kini beransur pulih bukanlah bererti bahawa ekonomi turut pulih sepenuhnya. Tentunya tidak. Sesi libat urus ini untuk berbincang bersama-sama kepimpinan daerah bagi menghasilkan bajet sempurna dan bersifat menyeluruh.

"Apa yang akan dilakukan dalam usaha membantu rakyat adalah dengan memastikan pemulihan ekonomi, khususnya memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan memperbanyakkan pinjaman untuk mereka memulakan perniagaan.

"Selain itu, akan memastikan rakyat yang kehilangan pekerjaan diberi peluang dengan menyediakan pelbagai kemahiran ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ supaya mereka boleh bekerja, sekali gus membolehkan ekonomi dijana semula," katanya dalam kenyataan sempena Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7 serta beberapa bantuan lain di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini pada Sabtu

Dalam pada itu, Hasni berkata, daerah Mersing mempunyai pelbagai potensi, khususnya dariapada segi sektor pelancongan.

"Saya bersama-sama pegawai daerah telah berbincang mengenai potensi yang ada di daerah ini, khususnya pelancongan marin. Daerah ini berpotensi untuk dibangunkan pusat pengajian tinggi berasaskan bidang marin.

"Menerusi kewujudan pusat pengajian ini, ia bakal menyerlahkan khazanah negeri ini, selain memberi peluang kepada pembangunan setempat," katanya.

Artikel Berkaitan: