Krisis air Merbok kritikal

Nor Azrina (tiga, kanan) ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 di Amanjaya Mall bersama Wanita Ikram Kedah semalam.
Nor Azrina (tiga, kanan) ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 di Amanjaya Mall bersama Wanita Ikram Kedah semalam.
A
A
A

Krisis air di Merbok semakin kritikal berikutan situasi kemarau yang dijangka berterusan sehingga Mei mengakibatkan ketiadaan sumber air menyebabkan 22,000 akaun penduduk terutama di Tanjung Dawai, terjejas.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, setakat ini penghantaran bekalan air melalui lori dipertingkatkan kepada 29 buah mengikut jadual ke zon terjejas teruk di mana kos penghantaran dianggarkan mencecah kepada RM30,000 sehari.

Menurutnya, ada perbincangan untuk pengisytiharan darurat dilaksanakan bagi memohon bantuan tentera mahupun negeri-negeri berkemampuan, namun perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri.

“Masalah kita di Merbok ialah sumber air tiada disebabkan kemarau berpanjangan dan dijangka berterusan sehingga Mei.

“Kita memang ada terfikir dan berbincang secara dalaman untuk pengisytiharan darurat, saya juga difahamkan SADA juga sudah menghantar laporan tersebut ke peringkat negeri.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya memang bercadang untuk berjumpa menteri besar untuk saya meyakinkan keadaan sebenar yang berlaku dan mengharapkan supaya ada tindakan yang benar-benar membantu warga Merbok yang terjejas.

“Kita juga sedang menyediakan laporan dan hantar kepada kerajaan negeri dan diharapkan dengan kuasa yang ada mereka boleh menilai semula, sebab kalau diisytihar darurat tu, kita boleh mohon bantuan tentera, pihak luar atau negeri lain yang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 di Amanjaya Mall anjuran Wanita Ikram Kedah dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Merbok.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, disebabkan keterbatasan bajet di mana beliau hampir menggunakan keseluruhan peruntukan parlimen bagi mengatasi krisis air selain bantuan SADA, beliau memohon agar peruntukan bagi penyelesaian jangka pendek dipertingkat bagi memastikan penduduk terjejas dapat terus menikmati keperluan asas itu.

“Setakat ini kita ada 29 buah lori bergabung dengan SADA, pusat khidmat juga sudah menambah daripada 4 buah meningkat kepada 7 buah lori, selebihnya dari SADA yang mana masuk hari ke-35.

“Kita memang ada perancangan jangka pendek dan jangka panjang, kita tak ada pilihan sebab masalah sumber, jadi untuk jangka pendek memang seboleh mungkin nak hantar air dua hari sekali kepada penduduk,” katanya.

Beliau menjelaskan, untuk penyelesaian jangka masa panjang, beliau menggesa kerajaan menyegerakan projek 'off river storage', gantian paip dan menaik taraf menara tangki air di Tupah yang diluluskan Kementerian Kewangan seperti diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Disember lalu agar dipercepatkan.

“Saya difahamkan, pada 11 Mac nanti akan dibuka tender dan kita jangkakan proses perolehan sedang bermula dan membolehkan ia dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, beliau sendiri sudah melakukan solat sunat Istisqa buat kali kedua di mana kali pertama dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara Merbok minggu lalu dan terbaharu di Dataran Loji Tupah kelmarin.

“Dalam suasana semakin kritikal dan kemarau yang semakin mencengkam, kita menyaksikan sendiri secara fizikal, sungai juga dah memang tak mengalir, jadi kita buat solat sunat Istisqa mohon turunkan hujan,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Nor Azrina sendiri sudah menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri dan permohonan bantuan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar dibantu dari segi peruntukan bagi meringankan beban kos bagi menguruskan situasi krisis ketika ini.