Pemandu peribadi pukul lelaki guna helmet diberkas polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu peribadi direman tiga hari dipercayai mengasari seorang pemandu kereta dengan topi keledar di sebuah stesen minyak di Jalan Duta pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, perintah reman berkenaan dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

"Suspek sebelum ini telah dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan selama tiga hari sehingga 16 November 2021.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu peribadi mempunyai satu rekod jenayah dadah berbahaya pada tahun 2010 dan masih dikehendaki polis bersabit kes tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, berdasarkan keterangan suspek, kereta mangsa telah masuk ke petak pam minyak suspek hendak mengisi minyak motosikalnya.

"Suspek yang berasa tidak puas hati kerana kereta mangsa mendahului motosikalnya kemudian bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

"Mangsa dalam kes ini merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 64 tahun telah menerima rawatan hospital dan dibenarkan keluar wad pada 14 November 2021," katanya.

Menurut beliau, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek pada 13 November 2021 didapati negatif.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes ini, polis telah menjalankan rampasan ke atas pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR3 dan sebuah helmet.

"Saksi awam lain di tempat kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan," katanya.

Pada Sabtu, polis mengesan seorang lelaki yang bertindak mengasari seorang pemandu kereta dengan menggunakan topi keledar di sebuah stesen minyak di Jalan Duta di sini.