Kedah bentang Belanjawan 2022 RM1.35 bilion

Muhammad Sanusi menunjukkan buku ucapan Bajet Kedah 2022 di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi menunjukkan buku ucapan Bajet Kedah 2022 di Wisma Darul Aman pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah membentangkan Belanjawan 2022 sebanyak RM1.35 bilion dengan jangkaan defisit 12.44 peratus atau RM90.22 juta berbanding 11 peratus pada 2021.

Bajet bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14.

Menurut beliau, daripada RM1.35 bilion itu, peruntukan perbelanjaan mengurus membabitkan RM815.22 juta, meningkat sebanyak 2.04 peratus atau RM16.34 juta berbanding tahun 2021.

“Daripada jumlah itu, RM103.04 juta diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, RM84.42 juta dikhususkan untuk perbelanjaan tanggungan, manakala perbelanjaan perbekalan sebanyak RM730.79 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, peruntukan pembangunan pula sebanyak RM218.31 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM17.41 juta atau 8.66 peratus bagi memastikan pembangunan seimbang ke seluruh negeri selain meneruskan perancangan projek yang tidak dapat diselesaikan akibat Covid-19.

“Kedah mencatatkan penerimaan hasil sebanyak RM631.68 juta sehingga 11 November lepas, iaitu 87.73 peratus daripada anggaran awal kutipan hasil berjumlah RM720 juta bagi tahun ini.

“Prestasi terimaan hasil tahun ini adalah lebih baik berbanding 2020 sebanyak RM560.66 juta, dengan pertambahan terimaan hasil RM71.02 juta. Kutipan hasil digiatkan secara atas talian melalui aplikasi dan portal yang dibangunkan bagi memudahkan urusan pembayaran cukai,” katanya.

Menurutnya, pentadbiran tanah mencatatkan terimaan hasil RM450.29 juta, Jabatan Perhutanan merekodkan terimaan RM16.64 juta dan Hasil Pelbagai RM162.09 juta. Terimaan hasil daerah agak rendah dengan kutipan RM2.66 juta akibat PKP kerana banyak aktiviti ekonomi tidak dapat beroperasi.

Artikel Berkaitan:

“Terimaan hasil pentadbiran tanah menunjukkan prestasi baik berikutan pertambahan bayaran cukai tanah semasa, bayaran tunggakan cukai tanah, terimaan premium tanah semasa dan bayaran levi swaping tanah,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, bagi tahun 2022, kerajaan negeri menganggarkan anggaran hasil sebanyak RM725 juta.

“Daripada jumlah ini, hasil cukai merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM335.91 juta atau 46.33 peratus, diikuti hasil bukan cukai RM224.56 juta atau 30.97 peratus. RM164.53 juta atau 22.69 peratus adalah daripada terimaan bukan hasil.

“Anggaran hasil tanah sebanyak RM490.01 juta, hasil pelbagai jabatan RM193.97 juta, hasil hutan RM27.51 juta serta hasil daerah sebanyak RM13.51 juta,” katanya.

Menurut beliau, sejumlah RM8.96 juta diperuntukkan untuk Kumpulan Wang Pembangunan Hutan iaitu peningkatan 10.6 peratus berbanding tahun 2021.

“Bagi Projek Pembangunan Bekalan Air, sebanyak RM308.14 juta diperuntukkan, iaitu RM173.12 juta adalah dalam bentuk Geran Peruntukan Persekutuan berganti balik dan RM135.02 juta daripada Kumpulan Wang Pinjaman.

“Peruntukan ini bagi meneruskan usaha kerajaan menyediakan bekalan air terawat yang berkualiti, bersih dan mencukupi bagi memenuhi keperluan permintaan air yang meningkat,” katanya.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan, sehingga 2 November, simpanan tetap kerajaan negeri adalah sebanyak RM660.31 juta, dan dijangka sekitar RM510.31 juta sehingga tahun berakhir.

“Kerajaan Persekutuan telah memulakan pelarasan hapuskira pinjaman bekalan air RM701.49 juta. Dengan hapuskira tersebut, pinjaman bekalan air kerajaan negeri telah berkurang daripada RM1.786 bilion kepada RM1.133 bilion. Baki pinjaman RM1.133 bilion ini diambil alih oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

''Apabila selesai proses ambil alih baki pinjaman bekalan air oleh PAAB, baki pinjaman kerajaan negeri yang belum selesai berjumlah RM793.23 juta merangkumi pinjaman Perumahan Awam Kos Rendah, pinjaman Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKNK) dan pelbagai,” katanya.

Menurut beliau, Belanjawan 2022 dirangka sebagai usaha untuk memulih, mencergas dan merangsang kegiatan ekonomi tempatan.

“Pelbagai pihak mengharapkan kerajaan sediakan peruntukan yang besar bagi memenuhi keperluan. Kita cadangkan Belanjawan 2022 berdasarkan pepatah Melayu, ‘Berilah kail, jangan ikannya’. Bila beri seseorang ikan, anda memberinya makan sekali, bila kita ajar dia memancing, anda memberinya makan seumur hidup,” katanya.