Pasca Covid-19 perlu kebijaksanaan kepimpinan, pengurusan: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim berkenan berangkat pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Balairong Seri Istana Iskandariah hari ini.
 Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim berkenan berangkat pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Balairong Seri Istana Iskandariah hari ini.
 Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Pasca Covid-19 memerlukan kebijaksanaan kepimpinan dan pengurusan yang dinamik lagi bertenaga dalam merencanakan pendekatan pemulihan yang dapat memberi impak bermakna kepada rakyat, terutama usaha membasmi kemiskinan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, kebijaksanaan barisan pemimpin terdahulu, memformulasikan program pembasmian kemiskinan pada era pascamerdeka dan pada era Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula diperkenalkan, hendaklah dijadikan rujukan, panduan dan pedoman.

“Pendidikan merupakan program paling berjaya DEB memenuhi matlamat pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Majoriti yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dan peningkatan kumpulan menengah terutama dalam kalangan masyarakat Melayu dicapai melalui program pendidikan.

“Susulan pandemik yang berlaku, platform pendidikan iaitu sekolah, universiti dan pusat-pusat pengajian merupakan institusi yang terjejas secara langsung. Para pelajar di sekolah serta di pelbagai institusi latihan dan pengajian, merupakan casualty atau mangsa yang menghadapi kerugian besar ketika ditetapkan Perintah Kawalan Pergerakan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran negeri Perak sempena Hari Keputeraan ke-65 baginda di Istana Iskandariah di sini pada Ahad. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Pada istiadat, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Perak kepada 38 daripada 339 penerima, manakala istiadat sesi kedua bagi penerima Darjah Kebesaran dan Pingat yang lain akan dianjurkan mengikut tarikh yang akan diperkenankan oleh Sultan Nazrin dan tertakluk kepada situasi semasa pandemik Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengetuai senarai 339 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak tersebut, beliau dikurniakan Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

Untuk rekod, 339 penerima itu merangkumi 147 penerima bagi 2020 dan 192 penerima bagi tahun ini dan ia dijalankan serentak berikutan pandemik Covid-19 pada tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Dalam titahnya, Sultan Nazrin melahirkan kebimbangan kepada aspek pendidikan negara yang masih tidak memiliki prasarana yang cukup untuk membolehkan kaedah pendidikan baharu dapat dinikmati oleh rakyat secara saksama.

“Masyarakat di luar bandar menghadapi kesukaran mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana jalur lebar yang lemah dan tidak stabil.

“Sementara masyarakat dalam kategori berpendapatan rendah dan miskin menghadapi kesulitan kewangan untuk membekalkan anak-anak dengan peralatan peranti yang berkualiti,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah, bahawa negara wajib mengambil pengajaran dan merekayasa dasar dan program berkaitan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan, kebajikan serta guna tenaga manusia, terutama kebergantungan yang keterlaluan kepada pekerja asing.

Sultan Nazrin turut berpesan agar negara hendaklah bersedia dan berani melakukan pengauditan untuk menilai kekuatan dan kelemahan aset perkakasan, aset perisian dan aset sumber manusia dari segi kuantiti juga kualiti kepakaran, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki.

“Penting disegerakan langkah-langkah penambahbaikan agar negara berada dalam keadaan lebih siap siaga menghadapi krisis pada masa hadapan.

“Bencana yang melanda hendaklah dijadikan pembuka mata untuk mencetuskan pemikiran baharu, memformulasikan kaedah baharu, menerokai pendekatan baharu, meletakkan keutamaan baharu dan memperkenalkan budaya baharu mengurus tadbir negara,” demikian pesanan Sultan Nazrin. - Bernama