Dr Dina, frontliners yang terus santuni rakyat

A
A
A

Dr Nordina ketika menyantuni masyarakat warga emas di kawasan Ayer Limau.
Dr Nordina ketika menyantuni masyarakat warga emas di kawasan Ayer Limau.

Situasi getir yang dialami oleh rakyat Malaysia akibat penularan Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu sukar untuk diterjemahkan.

Kesan negatif daripada pandemik ini telah pun menjejaskan hampir keseluruhan aspek kehidupan manusia tidak kira dari segi nyawa, kesihatan, sosial dan ekonomi.

Pegawai perubatan yang juga petugas barisan hadapan menjadi saksi terhadap penderitaan dialami oleh rakyat Malaysia.

Berdasarkan pengalaman itu, ia telah mendorong Dr Nordina Abdul Latif iaitu calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau untuk menyahut cabaran yang diberikan oleh pimpinan gabungan tersebut.

Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Muhammad Amnan Hibrahim bersama Dr Nordina mesra di sapa Dr Dina, untuk menyelami hasrat dan visi perjuangan bagi memulihkan kehidupan masyarakat di DUN Ayer Limau.

SINAR HARIAN: Apakah faktor yang menyebabkan Dr Dina sedia bertanding pada PRN kali ini?

Artikel Berkaitan:

DR NORDINA: Sebelum ini, saya telah bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Lubok China, Melaka selama hampir 16 tahun. Sebelum dicalonkan oleh Perikatan Nasional dalam PRN Melaka ini, saya memang tidak memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik. Namun, sebagai salah seorang petugas barisan hadapan yang berdepan dengan pandemik Covid-19, saya rasa amat sedih melihat ramai yang terkesan. Ramai yang menghadapi masalah ekonomi, hilang mata pencarian dan peluang pekerjaan terhad. Apabila diberi kepercayaan oleh kepimpinan PN untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat DUN Ayer Limau, saya merasakan ini peluang dan tanggungjawab yang harus saya pikul dengan penuh semangat. Saya juga menyahut cabaran dengan membawa aspirasi golongan wanita memandangkan tidak ramai calon wanita yang bertanding untuk PRN kali ini.

Setakat ini, apakah maklum balas pengundi DUN Ayer Limau mengenai hasrat dan harapan mereka terhadap Dr Dina?

Mereka mahukan seorang pemimpin yang boleh membantu mereka bangkit semula setelah punca pendapatan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Mereka juga mahukan seorang pemimpin yang sentiasa mendengar rintihan rakyat, senang didampingi dan selalu bersama masyarakat dalam apa jua keadaan.

Apakah isu dan masalah utama yang Dr dapat lihat berlaku di DUN Ayer Limau?

Antara masalah yang saya temui berdasarkan maklum balas rakyat DUN Ayer Limau adalah isu pendapatan yang terjejas teruk akibat pandemik terutamanya yang bekerja sendiri seperti peniaga kecil, petani dan nelayan. Isu capaian internet juga dilihat masih perlu diperluaskan di DUN ini bagi memudahkan urusan penduduk lebih-lebih lagi anak-anak yang mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan mereka yang masih bekerja dari rumah. Isu ban banjir di Lubok China yang tidak dapat menampung kapasiti air yang terlampau banyak terutamanya ketika musim hujan juga perlu diberikan perhatian.

Pengalaman sebagai pegawai perubatan memudahkan Dr Nordina mendekati dan memahami masalah rakyat.
Pengalaman sebagai pegawai perubatan memudahkan Dr Nordina mendekati dan memahami masalah rakyat.

Pendekatan apakah yang akan digunakan untuk menangani isu tersebut sekiranya dipilih?

Sekiranya saya terpilih sebagai wakil rakyat DUN Ayer Limau, saya akan mohon bantuan agensi kerajaan yang berkaitan untuk membantu menyelesaikan isu-isu tersebut. Bagi membantu peniaga kecil yang terjejas akibat pandemik, saya akan mohon kerjasama dan bantuan daripada agensi persekutuan mahupun negeri dan juga pihak berkuasa tempatan. Untuk isu liputan internet, saya akan bekerjasama dan meneruskan usaha yang telah dijalankan oleh Parlimen Masjid Tanah dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) khususnya bagi memastikan masyarakat DUN Ayer Limau menikmati akses internet yang terbaik. Bagi menangani masalah banjir di Lubok China, saya akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Melaka bagi mencari jalan penyelesaian demi kesejahteraan masyarakat di situ.

Dengan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, apakah usaha Dr Dina lakukan bagi memastikan keberkesanan kempen yang dijalankan?

Sebagai salah seorang calon yang bertanding, saya dan jentera PN DUN Ayer Limau akan sentiasa patuh kepada SOP. Namun begitu, ini tidak boleh dilihat sebagai batu penghalang untuk saya menyantuni hati dan jiwa para pengundi di DUN Ayer Limau. Saya melihat platform media sosial memainkan peranan amat penting di dalam pilihan raya norma baharu kali ini. Selain itu, kesempatan berjumpa dengan masyarakat di sepanjang tempoh berkempen ini harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberi peluang kepada masyarakat DUN Ayer Limau mengenali ‘Dr Dina’ dengan lebih dekat lagi. Kesempatan ini juga memberi peluang serta ruang kepada saya untuk berinteraksi terus secara spontan dengan masyarakat di sini.

Apakah visi yang Dr mahu ketengahkan sekiranya dipilih oleh masyarakat Ayer Limau sebagai wakil rakyat di kawasan mereka?

Impian saya untuk menjadikan Ayer Limau ini hebat dari segi ekonomi, infrastruktur, kemudahan awam, capaian internet, peluang pekerjaan terutama untuk golongan anak muda dan tidak ketinggalan dari aspek kesejahteraan, kebajikan serta kesihatan masyarakat tidak kira bangsa, agama, fahaman politik dan peringkat umur.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Nordina Abdul Latif

Umur: 40 tahun

Asal: Lubok China, Melaka

Kerjaya: Berkhidmat sebagai doktor bersama Kementerian Kesihatan Malaysia selama 16 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Malaysia Sarawak