Cikgu Aziah tekad ubah taraf hidup rakyat dengan pendidikan

A
A
A

Isu pendidikan menjadi keutamaan Cikgu Aziah yang pernah bergelar pendidik.
Isu pendidikan menjadi keutamaan Cikgu Aziah yang pernah bergelar pendidik.

Kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (Melaka) mula dirasai. Dengan penyertaan 97 calon lelaki tentunya ia menjadi cabaran kepada 15 calon wanita yang bertanding merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kali ini.

Calon yang turut mendapat perhatian ramai ini merupakan calon tunggal wanita yang mewakili Dewan Muslimat Pas Malaysia daripada Perikatan Nasional (PN) yang sudah mula memanaskan jenteranya berkempen di DUN Kuala Linggi.

Namun, beliau tidak gerun menyahut cabaran menentang tiga lagi penjuru meskipun merupakan calon wanita tunggal dalam kawasan tersebut.

Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Muhammad Yusainy Mohamad Yunus bersama Aziah Mohd Saad atau Cikgu Aziah, dalam perjuangannya mengembalikan kegemilangan di kawasan Kuala Linggi.

SINAR HARIAN: Cikgu merupakan calon wanita tunggal mewakili muslimat Pas. Apa perasaan Ustazah apabila diberi peluang ini?

AZIAH: Saya merupakan calon wanita tunggal Pas di N.01 DUN Kuala Linggi, mewakili Dewan Muslimat Pas Malaysia yang memperuntukkan kerusi wanita. Saya sambut baik pencalonan ini bagi mewakili Perikatan Nasional dan Dewan Muslimat Pas Malaysia. Ini adalah amanah, menjadi calon bukan satu kemuliaan tetapi amanah yang akan dipertanggungjawabkan kelak di akhirat. Tidak seronok sebenarnya menjadi calon tetapi apabila parti memberikan tanggungjawab, Insya-ALLAH dengan bantuan daripada ALLAH ia memberikan semangat dan kekuatan untuk saya menjalankannya.

Artikel Berkaitan:

Sudah berapa lamakah Cikgu terlibat dalam politik dan mengapa?

Saya mula terlibat dalam politik pada 1986 iaitu ketika masih bujang dan berusia 26 tahun. Saya pilih Pas kerana selain politik, di dalamnya ada tarbiah dan dakwah. Tiga elemen positif yang ada dalam Pas iaitu politik, dakwah dan siasah mencakupi firman ALLAH dalam Surah al-Imran yang bermaksud, ``Hendaklah ada di antara kamu segolongan umat menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah kepada munkar, merekalah orang-orang yang beruntung.’’ Kita bukan mahu untung berniaga sahaja tetapi dunia dan akhirat. Jadi saya adalah salah seorang daripada calon yang mahukan keuntungan itu dan parti telah memilih saya.

Berdepan pertembungan dengan tiga calon lelaki, bagaimana Cikgu mendepani cabaran ini?

Di dalam parti tidak kira lelaki atau wanita, dan saya sendiri sebagai muslimat sudah biasa bermesyuarat dengan kaum muslimin. Saya juga biasa mewakili muslimat untuk berucap. Saya kenal kesemua calon dan mereka seangkatan dengan saya. Insya-ALLAH saya harapkan supaya saya lebih berani berdepan. Ini bukan satu cabaran tetapi perkara yang perlu kita hadapi. Sebenarnya, wanita lebih teliti berbanding lelaki!

Cikgu Aziah (dua dari kiri) mahu lakukan pelbagai perubahan di DUN Kuala Linggi.
Cikgu Aziah (dua dari kiri) mahu lakukan pelbagai perubahan di DUN Kuala Linggi.

Apa permasalahan rakyat di DUN ini yang mahu Cikgu perjuangkan?

Saya lihat ada beberapa masalah di sini tetapi Insya-ALLAH saya akan perjuangkan. Sebagai pendidik, saya pentingkan pendidikan. Saya berada dalam pendidikan selama 35 tahun dan separuh usia saya dalam bidang ini. Jadi, saya mahu jadikan pendidikan sebagai teras seumur hidup untuk masyarakat Kuala Linggi hingga sampai ke liang lahad. Selain peringkat awal pendidikan kanak-kanak, golongan warga emas juga memerlukannya dan saya akan perjuangkan melalui apa yang saya lihat di Ayer Molek iaitu kelas pengajian orang tua.

Saya juga mahu menaik taraf kehidupan nelayan melalui projek tanaman fertigasi tepi rumah sebagai satu konsep tanaman komuniti. Saya juga mahu memperkasakan ekonomi wanita di Kuala Linggi melalui keusahawanan. Selain itu, saya ingin menambah baik industri pelancongan seperti contoh Kota Bukit Supai yang terbiar dan boleh dimajukan melalui penekanan sejarah seperti mana Bandar Hilir. Di sini juga ada ikan bakar yang sehebat di Umbai. Inilah ekopelancongan yang boleh ditambah baik dan boleh menambah ekonomi masyarakat setempat.

Apa yang Cikgu lakukan sepanjang berkempen kerana majlis atau ceramah tidak dibenarkan?

Saya perlu patuh kepada ketetapan berkempen dengan norma baharu yang disarankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu hanya 10 peratus bersemuka dengan SOP dan 90 peratus dalam media sosial. Memang satu kekangan untuk tambah baik di Kuala Linggi terutamanya dari segi capaian internet. Namun, saya harap dapat ditambah baik.

Apa harapan Cikgu kepada pengundi di kawasan ini?

Harapan saya agar semua pengundi di Kuala Linggi menyokong dan beri kepercayaan kepada saya untuk menggalas perubahan. Saya mahu mengembalikan kegemilangan Kuala Linggi kerana sejarah di sini sangat hebat tetapi dilupakan. Keluarlah mengundi kerana mereka perlu berubah dan membuat pilihan.

No Image Caption

PROFIL:

Nama: Aziah Mohd Saad

Umur: 60 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Pendidikan:

- Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Teknik Cheras

Jawatan:

- Bekas Penolong Kanan Pendidikan Khas

- Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Masjid Tanah