Perancis, Belgium ke pusingan akhir Piala Dunia 2022

Penyerang Perancis, Mbappe ketika beraksi menentang Kazakhstan. - Foto AFP
Penyerang Perancis, Mbappe ketika beraksi menentang Kazakhstan. - Foto AFP
A
A
A

JUARA dunia, Perancis berjaya mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 dengan bergaya apabila Kylian Mbappe meledak empat gol ketika membelasah Kazakhstan 8-0 di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Pada perlawanan tersebut, Karim Benzema menjaringkan dua gol manakala Adrien Rabiot dan Antoine Griezmann masing-masing menyumbang satu gol.

"Beraksi di Piala Dunia menjadi satu impian dan sasaran. Ia adalah segala-galanya dan amat menarik dapat bersama pasukan yang mampu memenanginya.

"Kami akan beraksi di sana untuk memenanginya," kata Mbappe.

Untuk rekod, Perancis kini menduduki tangga teratas Kumpulan D sekali gus menyaksikan Finland dan Ukraine bersaing untuk meraih tempat kedua.

Mengikut jejak langkah Perancis ke pusingan akhir Piala Dunia Qatar ialah Belgium, selepas pasukan yang menduduki ranking pertama dunia itu menewaskan Estonia 3-1 di Brussels untuk memastikan mereka menduduki tangga teratas Kumpulan E.

Pada perlawanan tersebut, pengendali Belgium, Roberto Martinez terpaksa memanggil penyerang Crystal Palace, Christian Benteke selepas tidak dapat menggunakan khidmat Romelu Lukaku, Mitchy Batshuayi dan Youri Tielemans yang mengalami kecederaan.

Tindakan tersebut nyata berbaloi apabila Benteke berjaya meledak gol ketika permainan hanya berusia 11 minit.

Artikel Berkaitan:

"Saya tahu yang saya hanya pilihan ketiga di bahagian penyerang tetapi tidak pernah berputus asa," kata Benteke.