Kreativiti dan kuasa biblioterapi

Buku sama ada fiksyen, kisah inspirasi atau puisi telah dijadikan sebagai bahan terapi bagi tujuan penyembuhan jiwa.
Buku sama ada fiksyen, kisah inspirasi atau puisi telah dijadikan sebagai bahan terapi bagi tujuan penyembuhan jiwa.
A
A
A

MENULIS bukan sekadar meluahkan kata-kata, atau menerbitkan segala emosi yang terpendam dalam lubuk hati. Menulis bukan sekadar menyerlahkan diri untuk diiktiraf dan dipuji bahkan mempunyai misi yang sangat tinggi.

Kerja menulis merupakan suatu amanah yang tergalas di pundak sebagai seorang khalifah di muka bumi. Hal ini termaktub dalam surah as-Syu'ara Ayat 224-227 yang memperlihatkan kepentingan tanggungjawab sebagai seorang penulis yang bermaruah dan diberkati Ilahi.

Menulis, pasti dipertali dengan kreativiti. Sejauh mana kreativiti dapat dibangunkan oleh seseorang penulis yang akhirnya dapat menghasilkan sebuah tulisan yang berseni.

Sejauh mana seseorang pengarang kreatif dapat mempersembah sebuah cerpen, novel, skrip drama dan sajak untuk tatapan khalayak di sisi. Segalanya menuntut sebuah pengorbanan yang sangat luar biasa, dan kebijaksanaan yang tersendiri.

Kreativiti sebenarnya menguji daya fikir seseorang penulis untuk menghantar perutusan kepada pembaca. Sejauh mana hasil penulisannya nanti dapat membuahkan makna kepada sebuah kehidupan, bukan hanya sekadar hiburan semata-mata.

Bagaimana gubahan kreativiti yang dianyam dalam sesebuah cerpen, novel, skrip drama dan sajak dapat membentuk keperibadian manusia. Bagaimana tatarias kreativiti yang ditukang dalam sebuah pantun, seloka, syair dan gurindam dapat menghakis kerakusan dunia.

Apakah pula biblioterapi dalam dunia sastera?

Biblioterapi merupakan keupayaan karya yang terhasil dapat menumbuhkan tafsiran dan perenungan untuk pembaca.

Artikel Berkaitan:

Seseorang penulis berusaha untuk berkarya dengan perkongsian ilmu dan pengetahuan yang dimiliki, yang akhirnya membawa kelegaan dalam sanubari.

Lantaran biblioterapi merupakan satu bentuk terapi yang menggunakan buku sebagai bahan untuk membantu individu yang bergelut dengan isu psikologi, sosial dan emosi.

Terapi buku

Buku telah dijadikan sebagai bahan terapi dalam biblioterapi kreatif dengan menggunakan buku sama ada fiksyen, kisah inspirasi atau puisi bagi tujuan penyembuhan jiwa.

Bibilioterapi bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup dan semangat diri dengan menghayati mutiara kata yang diperolehi daripada pembacaan.

Ungkapan kata-kata tersebut dapat membangunkan jiwa yang keresahan, kerusuhan, kegalauan dan segala macam perasaan yang mengganggu kualiti keelokan hidup.

Perhatikan contoh petikan cerpen “Bunga Kantan Bonda” (Kamariah Kamarudin, UPM, 2019) yang termuat dalam Antologi Cerpen Bingkisan Puteri 3 Negeri menggagaskan kecintaan terhadap ibu.

Cerpen ini mengajak pembaca menghargai jasa seorang wanita yang bergelar sama ada ‘ibu’, ‘emak’, ‘mama’, ‘bonda’ atau apa sahaja gelaran untuk manusia yang melahirkan manusia di muka bumi ini sebagai penyembuhan jiwa.

Pagi Jumaat nan baraqah yang indah suasananya. Seusai hujan yang bermula sejak dinihari dan kian reda. Saya memandang ke arah luar jendela. Bau tanah dan rumput bersatu yang membawa hangatnya rindu dalam takungan jiwa. Wajah bonda tetiba menjelma di mata. Sosok bonda tetiba tersergam di hadapan saya. Wanita istimewa yang saya punya. Wanita istimewa yang banyak mendidik saya.

Wanita yang sentiasa mengirimkan wangian doa buat saya. Wanita yang cekal dan waja walau diuji sakit dan derita. Paling utama wanita yang mengajak saya mencintai khazanah warisan milik leluhur nenek moyang kita. Dia bonda saya. Dia bonda yang saya cinta dengan setulus jiwa. Dia bonda yang sangat istimewa dalam hidup saya. Dia bonda yang sangat bermakna dalam nadi dan jiwa saya.

Cerpen ini memandu pembaca agar sentiasa menghormati, mengasihani dan mencintai ibu dengan sepenuh jiwa raga, dan penghargaan yang tinggi.

Usaha memartabat ibu sebagai sosok mulia akan menyerlahkan nilai kasih-sayang dalam diri pembaca sekali gus menolak segala kekacauan perasaan dan fikiran dalam diri.

Kreativiti dan biblioterapi saling berkaitan dalam merawat kegundahan, dan ketegangan. Sesebuah hasil karya sastera yang menghidangkan nuansa Islami misalnya dapat menyembuhkan kesedihan dan kegalauan.

Perhatikan sajak “Ranting Yang Rekah, Pohon Usah Rebah” (Kamariah Kamarudin, 2021) yang termuat dalam Antologi Sajak 27 Penyair Wanita Terengganu: “Walau dia tahu ranting itu rekah, walau dia tahu ranting itu patah, walau dia tahu ranting itu punah, sesekali pohon usah rebah. Ranting yang rekah, pohon usah rebah, Ya Allah, pimpinlah hamba-Mu, yang lemah untuk gagah melangkah. Ranting yang rekah, pohon usah rebah, Ya Allah, pandulah hamba-Mu, yang lemah untuk gigih menyandang amanah.”

Sajak ini mengajak khalayak kepada perenungan, dan muhasabah dalam mengharungi getir kehidupan yang sarat cabaran. Justeru, di tanah air telah wujudnya sebuah persatuan yang mengendalikan biblioterapi.

Persatuan Biblioterapi Malaysia telah ditubuhkan di tanah air dengan beberapa program bersama Persatuan Pustakawan Malaysia.

Usaha ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan tentang biblioterapi terhadap warga Malaysia. Namun, sejauh mana persatuan ini berfungsi untuk keharmonian dan kesejahteraan warga tanah air?

Apakah rakyat Malaysia tahu kewujudan persatuan ini? Malahan, sejauh mana persatuan ini bekerjasama dengan penulis buku tanah air khususnya sama ada karyawan atau sasterawan yang telah melahirkan puluhan dan ratusan buku yang sesuai untuk kegunaan penyembuhan jiwa masyarakat.

Ayuh, kenali kreativiti, kenali biblioterapi dan kenali karya sastera Melayu yang kaya dengan falsafah yang dapat membugar semangat pembaca sekali gus memancarkan ketenangan yang abadi. Barangkali ungkapan Sayyid Qutb ini dapat dijadikan panduan dan pedoman, iaitu:

Tenang dalam kebahagiaan dan kesengsaraan, dalam keluasan dan kesempitan, dalam nikmat dan dalam ketiadaan nikmat. Tenang, maka tidak ragu; tenang, maka tidak menyeleweng; tenang, maka tidak akan tersesat di jalan; dan tenang, maka tidak akan kebingungan di hari penuh dengan kegoncangan dan menakutkan (hari kiamat).”

Maka, bersiap siaga dengan kreativiti, dan biblioterapi dalam karya sastera demi sebuah ketenangan jiwa!

* Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin ialah Penyelaras Seni Persembahan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia