X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

'Tan Sri' kepada Abang Johari pengiktirafan terbesar buat Sarawak

Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara membawa gelaran Tan Sri kepada Abang Johari pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda Tahun 2021 di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A

LAWAS - Penganugerahan darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu adalah pengiktirafan dan penghormatan terbesar bagi Sarawak.

Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri itu membanggakan seluruh kepimpinan kerajaan negeri serta rakyat Sarawak.

"Ini pengiktirafan yang paling tinggi dan mudah-mudahan ia dapat memberi semangat yang lebih kepada kerajaan negeri untuk terus mencapai lebih banyak lagi kejayaan.

"Diharapkan juga ia mampu menjadikan kerajaan negeri dan Sarawak terus cemerlang secara keseluruhannya di bawah pimpinan Ketua Menteri (Abang Johari)," katanya kepada semasa merakamkan ucapan tahniah kerajaan Sarawak kepada Abang Johari.

Awang Tengah ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Sari, di Lawas pada Sabtu.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menerima darjah kebesaran berkenaan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut menerima darjah kebesaran sama pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara pada Sabtu ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Selain itu, seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan untuk 2021 manakala beberapa individu adalah penerima bagi 2020. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!