Kejayaan PICK, kerjasama kerajaan dan rakyat memungkinkan perhimpunan perayaan

Ismail Sabri (tiga dari kiri) dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin (kiri) bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kanan) melancarkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Jalan Ampang hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tiga dari kiri) dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin (kiri) bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kanan) melancarkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Jalan Ampang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama erat semua pihak termasuk kerajaan dan rakyat serta kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah memungkinkan perhimpunan seperti sambutan perayaan diadakan.

Beliau berkata, hasil kejayaan PICK membolehkan rakyat menikmati kelonggaran di sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat setelah tahap vaksinasi golongan dewasa mencapai 95.1 peratus sehingga Jumaat.

Justeru, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan, kepercayaan dan keyakinan penuh terhadap kerajaan untuk memulihkan negara dalam tempoh yang mencabar ini.

"Berbanding dengan tahun lepas, perayaan Deepavali tahun ini disambut lebih meriah dalam suasana norma baharu. Ramai juga yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bertemu sanak- saudara selepas kerajaan membenarkan rentas negeri pada 11 Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini malam Sabtu, yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Ismail Sabri bagaimanapun mengingatkan rakyat agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tidak bersikap sambil lewa atau memandang enteng terhadap ancaman COVID-19 kerana pandemik ini akan terus membelenggu dan menyekat kebebasan sekiranya lalai.

Perdana Menteri menyeru rakyat menyemai semangat Keluarga Malaysia agar perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini terus kukuh sempena meraikan perayaan Deepavali.

Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia juga memberi fokus kepada nilai kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran, yang merupakan benih mencambahkan penyatuan rakyat Malaysia selama ini.

Artikel Berkaitan:

“Nilai-nilai murni ini turut ditekankan dalam setiap agama dan menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankannya demi keharmonian, kemakmuran dan kemajuan negara,” ujarnya.

Dalam melaksanakan agenda pembangunan negara, beliau berkata, kerajaan sentiasa komited menjaga kebajikan semua kaum di negara ini untuk memastikan tidak ada yang tersisih termasuk kaum India.

"Dalam Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM145 juta bagi memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh Tekun Nasional.

"Selain itu kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi kerja pembaikan penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelaksanaan aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat," katanya.

Ismail Sabri berkata, semangat perpaduan dan kerjasama diamalkan membolehkan rakyat Malaysia hidup dalam suasana aman sejahtera walaupun terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan agama, bahasa dan budaya berlainan.

Beliau berkata, perbezaan juga menjadikan rakyat Malaysia sebagai satu masyarakat yang kaya dengan budaya, malah menjadi faktor penyatu yang dikagumi masyarakat luar negara.

“Istimewanya kita di Malaysia, Deepavali disambut dengan penuh meriah dalam semangat Keluarga Malaysia yang bersifat lebih inklusif, merentas sempadan agama, budaya dan kaum.

“Harapan saya agar perayaan ini akan memekarkan lagi perpaduan, menyimpulkan ikatan tali perhubungan antara Keluarga Malaysia dan keharmonian sesama kita di bumi Malaysia yang tercinta ini,” katanya. - Bernama