KBS mahu lihat atlet sukan ekstrem ke Olimpik

Lian Ker (kanan) melakukan gimik pelancaran Pembukaan Semula Kiara Skatepark pada Sabtu. - Foto Bernama
Lian Ker (kanan) melakukan gimik pelancaran Pembukaan Semula Kiara Skatepark pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PENGLIBATAN lebih banyak pihak swasta diperlukan bagi memperkasa sukan ekstrem seperti papan selaju di negara ini, berikutan acara itu sudah mendapat tumpuan di temasya sukan berprestij dunia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, ini selaras dengan dasar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggiatkan aktiviti sukan, selain mewujudkan peluang kerjaya dalam sektor itu.

Beliau berkata, KBS mahu melihat atlet sukan ekstrem negara bertanding di Sukan Olimpik dan bersedia menggerakkan usaha bagi merealisasikan impian itu.

“Saya rasa terdapat keterujaan dan keinginan dalam kalangan sektor swasta untuk menggerakkan sukan ekstrem ini.

“Sukan ini semakin mencabar dan menarik minat orang ramai, saya berpendapat terdapat pasaran yang luas dalam sukan ini, dan selaras dengan dasar kita memang kita perlu kerjasama daripada pihak swasta,” katanya selepas merasmikan pembukaan semula Kiara Skatepark di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara di sini pada Sabtu.

Katanya, belia yang terlibat dalam sukan berkenaan perlu diasah bakat mereka selain mengenal pasti mereka yang berpotensi.

Selain itu, Lian Ker berkata, pembukaan semula Kiara Skatepark selepas ditutup selama dua tahun susulan pandemik Covid-19 dan kerja-kerja menaik taraf, diharap merancakkan kembali aktiviti sukan ekstrem menerusi penganjuran pelbagai program dan pertandingan.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE), Idroose Tambarin mengakui pihaknya mengharapkan sokongan daripada pihak swasta dan kerajaan, bagi merencanakan agenda memperkasa sukan ekstrem, terutama dalam tempoh mencabar pasca pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhan, kos minimum termasuk latihan persediaan ke Sukan Asia 2022 dan program pembangunan adalah RM400,000. Jadi kita tengok pada situasi semasa, penglibatan pihak swasta memang kena lebih sedikit,” katanya.

Dalam pada itu, Idroose berkata, pembukaan semula Kiara Skatepark sangat ditunggu-tunggu komuniti sukan ekstrem tempatan, selain memberi peluang kepada pihaknya untuk mencungkil bakat baharu.

“Ini yang dinantikan peluncur dan peminat BMX terutama di Lembah Klang dan juga seluruh Malaysia. Kita nampak banyak program boleh dilaksanakan di sini dari segi pembangunan, terutama apabila papan selaju sudah ada dalam Sukan Asia dan Sukan Olimpik,” katanya.

Malaysia menghantar lima atlet untuk beraksi dalam acara papan selaju dan luncur laju di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, manakala papan selaju mula dipertandingkan pada Olimpik di Tokyo baru-baru ini. - Bernama