Norma baharu parti politik bertanding berasingan: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

ALOR GAJAH - Politik Malaysia melangkah ke era baharu apabila parti-parti yang membentuk kerajaan bertanding menggunakan bendera sendiri pada Pilihan Raya Negeri, kata Ketua UMNO bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ia bukan satu bentuk permusuhan, namun merupakan norma baharu politik di negara ketika ini.

"Tak ada kawan dan musuh tetap dalam politik (Malaysia ketika ini). Kita tak boleh ambil pendekatan kerana bertanding (sesama sendiri) kita berpatah arang berkerat rotan (memutuskan hubungan).

Parti-parti di peringkat Persekutuan akan terus bersama (dengan kerajaan semasa)," katanya di sini pada Sabtu.

Annuar, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat keputusan tidak perlu ada 'friendly-fire' (menyerang sesama sendiri) antara parti kerajaan yang bertanding kerana masing-masing masih bersama dalam kerajaan Persekutuan.

"Pada masa sama, ia tak menghalang mana-mana parti untuk menyertai pilihan raya negeri.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga kita dukung bersama untuk mereka bertanding (pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak), begitu juga di sini (PRN Melaka).

"Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing bertanding atas kapasiti sendiri, jadi ini norma baharu politik yang kita harus dukung dan terima realiti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan jentera parti agar patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PRN Melaka walaupun agak ketat kerana ia telah diwartakan dalam usaha kerajaan membendung penularan Covid-19.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Benama