Tular dakwaan minta wang, beberapa anggota polis dirakam keterangan

Zainal
Zainal
A
A
A

GOMBAK - Polis Gombak telah merakam keterangan beberapa anggota polis bagi membantu siasatan susulan tular dakwaan anggota polis meminta wang daripada dua lelaki warga asing di Jalan Gombak di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan satu akaun Twitter tular yang mendakwa tentang salah laku anggota polis di sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Gombak Lama.

"Pemilik akaun berkenaan juga telah memuat naik beberapa rakaman suara rakannya dipercayai seorang warga Palestin semasa ditahan oleh pihak polis," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Zainal Mohamed berkata, mangsa tersebut mendakwa semasa pemeriksaan dibuat, salah seorang anggota yang bertugas telah meminta wang atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen diri yang sah.

"Kita telah merakam keterangan beberapa anggota polis yang bertugas semasa sekatan jalan raya tersebut.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti anggota yang terlibat dalam rakaman suara yang telah tular di Twitter," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam usaha mengesan pemilik akaun Twitter dan mangsa bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Abdul Aziz Sulaiman di talian 03-6126 2222 atau 016-7185 750," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan pertuduhan jenayah di samping siasatan salah laku sekiranya benar dakwaan penglibatan anggota polis memeras ugut mangsa.