Isu harga, bekalan ayam dijangka selesai dalam dua minggu

Rosol
Rosol
A
A
A

LANGKAWI - Kenaikan harga dan masalah kekurangan bekalan ayam ketika ini dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada minggu lalu bagi mencari penyelesaian bersama berkaitan isu berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya sedar masalah yang timbul masa kini bukan sahaja melibatkan kenaikan harga ayam malah isu bekalan.

"Saya difahamkan di Terengganu banyak kedai tutup sebab susah hendak dapatkan bekalan ayam, ini satu masalah serius dan kita cakna dengan masalah ini," katanya pada sidang media majlis perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Chenang di sini pada Sabtu.

Rosol (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) kepada peniaga terpilih pada Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Chenang pada Sabtu.
Rosol (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) kepada peniaga terpilih pada Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Chenang pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, kekurangan bekalan minyak masak peket kebelakangan ini disebabkan isu kelewatan bayaran subsidi kepada pembekal.

"Apabila pembekal tidak mendapat bayaran dalam satu tempoh yang lama, mereka tidak mempunyai modal pusingan untuk mengeluarkan stok minyak masak yang baharu,'' jelasnya.

Peruntukan itu kata beliau, dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan yang disalurkan kepada KPDNHEP, kemudian pihaknya akan menyalurkan kepada pembekal.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau lagi, jika Kementerian Kewangan tidak beri dana, pihaknya juga tidak boleh membuat pembayaran kepada pembekal yang mengusahakan minyak peket ini.

"Walau bagaimanapun kita sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan berkaitan pembayaran subsidi ini dan insya-ALLAH ia akan diselesaikan dalam masa seminggu lagi," katanya.