Polis Marin rampas rokok seludup RM2.85 juta

Sebanyak 9,260 karton rokok putih dan kretek disimpan di sebuah rumah di Changkat Jering. - Foto ihsan PPM Wilayah Satu.
Sebanyak 9,260 karton rokok putih dan kretek disimpan di sebuah rumah di Changkat Jering. - Foto ihsan PPM Wilayah Satu.
A
A
A

TAIPING - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kampung Acheh merampas 21,210 karton rokok seludup bernilai RM2.85 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Changkat Jering di sini pada Jumaat.

Serbuan kira-kira jam 6 petang itu dilakukan oleh Unit Risikan Marin hasil maklumat risikan Op Kontraban.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang disyaki menyimpan rokok putih dan kretek pelbagai jenis tanpa cukai kastam.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah dan stor menemukan 6,550 karton rokok putih serta 2,710 kartok rokok kretek yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta.

"Susulan daripada penggeledahan itu, PPM telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori milik suspek yang dalam keadaan rosak di belakang rumah tersebut.

"Polis kemudiannya menjumpai 7,800 karton rokok putih dan 4,150 karton rokok kretek bernilai RM1.59 juta," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kesemua bekalan rokok itu dipercayai diperoleh dari Pulau Pinang untuk dipasarkan di sekitar daerah Taiping.

"Rokok berkenaan dirampas dan suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk tujuan siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Suspek direman selama lima hari untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Shamsol berkata, PPM akan terus memerangi jenayah penyeludupan terutama pengedaran atau penjualan rokok tanpa cukai Kastam dari masa ke masa.

"Dengan penangkapan dan rampasan ke atas kes ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran serta penjualan rokok seludup yang tiada cukai Kastam," katanya.