Polis siasat dakwaan anggota bersikap biadap, tidak sopan

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis Subang Jaya membuka kertas inkuiri bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang anggota polis wanita bersikap biadab dan tidak sopan melayan pelanggan di Balai Polis USJ 8 di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya terkesan terhadap satu ciapan di satu akaun Twitter yang menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Antara ciapan tersebut adalah menunjukkan anggota polis wanita yang biadap dan tidak sopan melayan pelanggan atau rakyat serta bercakap dalam nada yang marah, angkuh dan bongkak.

"Kenyataan tersebut jelas telah menjatuhkan imej dan maruah PDRM," ujarnya.

Abd Khalid berkata, susulan daripada 'posting' tersebut, terdapat dua laporan yang dibuat bagi menafikan kenyataan itu.

"Justeru itu, satu siasatan telah dijalankan di bawah kertas inkuiri bagi mendapatkan kesahihan berkaitan kejadian seperti yang didakwa," katanya.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud salah laku yang didakwa tanpa sebarang kompromi.

Pada Jumaat, pemilik akaun Twitter terbabit telah hadir ke Balai Polis USJ 8 untuk membuat satu laporan berhubung kemalangan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Dia telah dikenakan saman di bawah Peraturan 10 LLN 166/59 kerana telah melanggar bahagian belakang kenderaan yang berada di hadapannya," katanya.

Dalam pada itu, Abd Khalid memaklumkan orang awam yang mempunyai maklumat dan saksi berhubung kejadian di Balai Polis USJ 8 boleh tampil bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak menyebarkan sebarang imej tangkap layar atau memberi komen yang boleh menyentuh atau mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

"Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998," jelasnya.