Asam pedas 'racuni minda, jiwa pelanggan’

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Kalau datang ke Melaka, jangan lupa singgah ke Asam Pedas Rachun Markas Jebon yang terletak di Kota Syahbandar.

Restoran ini menyediakan asam pedas autentik Melaka yang dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun empat generasi.

Cakap sahaja nak asam pedas apa, semuanya ada tersedia di restoran yang beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 12 malam, kecuali Jumaat operasi dibuka bermula jam 3 petang.

Pengurusnya, Su Amelia Najhia Nazri Su, 24, berkata, Asam Pedas Rachun Markas Jebon menyediakan variasi asam pedas terdiri daripada ikan dan daging.

“Ikan biasanya kami sediakan pari, jenahak dan merah manakala daging pula biasanya ekor, telur dan tetel.

“Kesemua menu ini dapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan terutamanya ekor dan jenahak,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, harga ditawarkan berpatutan dan bahan yang digunakan pula semuanya segar-segar belaka.

“Harga kami sama macam tempat lain, bermula dari RM10 hingga RM40 semangkuk bergantung pada jenis ikan.

Artikel Berkaitan:

Menu istimewa

Selain asam pedas, restoran ini juga menyediakan menu ayam siram.

Su Amelia Najhia berkata, menu berkenaan merupakan sajian istimewa Asam Pedas Rachun Markas Jebon yang tak terdapat di tempat lain.

Katanya, ia mempunyai tiga variasi iaitu ayam siram masak lemak, siram sambal dan dan siram tiga rasa.

“Resipi ini dinamakan ayam siram kerana bahan yang digunakan tidak dimasak sekali dengan kuahnya.

“Kuahnya kemudian akan disiram di atas ayam yang telah diperap terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, idea ayam siram ini diperoleh melalui eksperimen menghasilkan makanan.

“Mula-mula kita cuba sahaja buat menu baharu untuk cari kelainan dalam menyediakan makanan.

“Bila rasanya sedap kita pun teruskan untuk kenalkannya sebagai menu di restoran ini,” katanya.

Menurutnya, ayam siram adalah menu pertama seumpamanya di Melaka dan ia adalah resipi asli Asam Pedas Rachun Markas Jebon.

Hidangan eksklusif

Bagi yang menggemari masak lemak, restoran ini juga tak terkecuali mengangkat menu berkenaan sebagai salah satu hidangannya.

Cumanya, masak lemak yang dianggap sebagai menu biasa bagi kebanyakan orang ini disajikan secara eksklusif sehingga harganya mampu mencecah ratusan ringgit.

Su Amelia Najhia berkata, harga biasanya bergantung pada bahan yang digunakan dalam masak lemak berkenaan.

“Masak lemak kami menunya terdiri daripada ikan, ketam dan telur itik.

“Menu masak lemak ketam raja adalah yang paling mahal dan mampu mencecah sehingga RM600,” katanya.

Mahu cari kelainan

Sementara itu, Pemiliknya, S Shahrulidzafa Hisham, 47, berkata, beliau memilih nama Asam Pedas Rachun Markas Jebon kerana mahu mencari kelainan.

“Maksud di sebalik nama berkenaan ialah kami mahu meracuni minda dan jiwa pelanggan selepas merasa asam pedas kami,” katanya.

Malah, katanya, kelainan diketengahkan turut ditekankan pada cara makanan dihidangkan di restorannya itu.

“Kami menggunakan kuali sebagai bekas untuk hidangan utama agar berbeza dengan kedai makan lain,” katanya.

Selain makanan, beliau berkata, Asam Pedas Rachun Markas Jebon turut ambil berat soal dekorasi restorannya.

“Susun atur serta konsep kedai ini ditentukan oleh saya. Tidak terlalu moden dan tidak pula terlalu tradisional tetapi lebih pada kemelayuan sederhana,” katanya.

Menurutnya, dekorasi restoran turut dimantapkan lagi dengan menampal kata-kata hikmah pada dinding yang dipetik daripada individu terkenal, dari pemimpin hingga ke peninju.

“Setiap insan terdapat perkara positif yg boleh digunakan pakai dan kita sebagai manusia harus mengambil nilai-nilai yang baik dari setiap manusia lain sekiranya kita ingin berjaya,” katanya.